Umno tawar duit, terdesak cari sokongan

JUHANI RAHMAN | .

KUALA LUMPUR: Tawaran pemimpin Umno untuk memberi ganjaran puluhan ribu kepada cawangan Umno yang berjaya mendaftarkan ahli baharu paling ramai menunjukkan parti itu semakin terdesak mencari sokongan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Umno ketika ini hilang kredibeliti dengan pelbagai dakwaan yang masih gagal dijawab sepenuhnya sehingga sekarang.

Keadaan itu, tambah Iskandar yang juga Naib Presiden PAS, menyebabkan usaha Umno untuk mencari ahli baharu menjadi satu tugas yang hampir mustahil untuk dilaksanakan.

"Saya melihat bahawa Umno di Selangor telah gagal untuk menarik minat rakyat sehingga terpaksa menawarkan ganjaran kewangan.

"Kami memahami masalah yang dihadapi oleh mereka kerana kredibliti Umno di mata rakyat telah teruk tercalar. Sudah tentu untuk menarik ahli-ahli baru adalah satu tugas yang hampir mustahil," katanya.

Tawaran yang diumumkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu dalam mesyuarat agung tahunan ketua cawangan Umno Selangor di Dewan MAEPS, Serdang minggu lalu bertujuan untuk merampas negeri paling maju itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Zahid menaikkan imbuhan itu sebanyak sepuluh kali ganda berbanding ganjaran asal yang ditawarkan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mengakui tidak mempunyai peruntukan yang banyak.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor itu menambah, prestasi kerajaan negeri yang cemerlang dengan pelbagai tawaran program kebajikan turut mendapat sokongan padu dari rakyat.

Keadaan ini, katanya, menyebabkan ruang Umno untuk berperanan sebagai pembangkang semakin sukar kerana ketandusan isu.

Katanya, perkara paling penting adalah PAS tidak gentar untuk terus berhadapan dengan Umno dalam pilihan raya walaupun tiada sumber kewangan yang besar.

"PAS Selangor tidak bimbang dengan perkembangan ini kerana cawangan-Cawangan PAS dapat menarik ahli-ahli baru tanpa ganjaran kewangan ini.

"Ahli-ahli PAS tidak meletakkan ganjaran kewangan sebagai matlamat perjuangan mereka," kata Adun Chempaka itu.

Menurutnya, perbezaaan perjuangan ini jelas menunjukkan bahawa Umno tidak mampu mencontohi PAS dalam menetapkan matlamat perjuangan.

"Matlamat mereka bukan hanya di dunia tetapi di akhirat. Mencari keredhaan Allah adalah matlamat utama aktivis-aktivis PAS agar selamat di dunia dan akhirat.

"Pengumuman yang dibuat dengan jelas menunjukkan bahawa matlamat Umno adalah hanya untuk dunia sahaja," katanya.- HARAKAHDAILY 25/3/2016

Share on Myspace