Selangor bina loji rawatan RM800 juta atasi isu air

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor akan membina dua buah loji rawatan air dengan kos hampir RM800 juta sebagai inisiatif memastikan bekalan air mencukupi bagi menampung kegunaan domestik dan perindustrian yang semakin meningkat di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata projek dijangka siap pada pertengahan 2017 itu dilaksanakan selepas mendapati Projek Langat 2 yang sepatutnya siap pada 2017 mengalami kelewatan.

“Projek Langat 2 yang sepatutnya siap pada 2017 akan berlaku kelewatan dan kita dimaklumkan hanya siap pada 2019.

“Kita tidak ada pilihan dan oleh kerana kita ada kedudukan kewangan baik, kita mengambil keputusan menggunakan sebahagian daripada peruntukan ini untuk membina dua loji rawatan air iaitu di Pelabuhan Dagang dan Semenyih.

“Tender baru sahaja buka dan proses itu akan berjalan,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Mitigasi 2 kepada Kerajaan Selangor di Rumah Pam Matang Pagar, Rawang, hari ini.

Mohamed Azmin turut melahirkan keyakinan, permintaan air terawat untuk pengguna domestik dan perindustrian dapat ditampung dengan adanya dua buah loji baru ini.

Beliau juga menekankan keperluan setiap pengguna air Selangor memulakan langkah berjimat cermat dan tidak melakukan pembaziran air terawat bagi tujuan membasuh kenderaan, menyiram pokok dan sebagainya.

“Penggunaan air di Selangor mencapai sehingga 235 liter sehari bagi seisi rumah iaitu satu jumlah yang tinggi.

“Kalau di negara maju seperti Australia dan Singapura mereka akan dikenakan tindakan, kita tidak sampai ke tahap itu tetapi kita mahu rakyat Selangor bersama memainkan tanggungjawab menggunakan air tanpa pembaziran sebab kalau tidak akan beri kesan,” katanya.

Share on Myspace