PAS Sabah gesa mangsa kebakaran dibela

AMIRUDDIN MOHD ROSDI | .

PUTATAN: Empat keluarga mangsa kebakaran rumah pada Mac 2014 yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Pasir Putih berkemungkinan akan berpuasa dan berhari raya di sana untuk tahun yang ketiga.

Perkara ini masih lagi tidak mendapat perhatian dan tindakan dari pihak yang berwajib untuk menguruskan tempat tinggal yang tetap kepada mereka. Menurut salah seorang penghuni, mereka tidak mendapat kelulusan untuk mendirikan rumah baru di tapak lama, kemudian kediaman yang dikhaskan untuk mereka di Ketiau juga sehingga kini belum ada perkembangannya.

Beliau menambah, "Kami tiada pekerjaan tetap, saya seorang mekanik kereta, kawan saya tukang kayu. Terus terang, kalau sewa rumah, kami tidak mampu".

Keadaan ini lebih menyedihkan apabila bekalan elektrik di dewan berkenaan sudah dipotong. Ini menyukarkan penghuni khususnya bagi anak-anak yang masih bersekolah dan urusan harian yang lain, terpaksa berpanas tanpa kipas dan bergelap tanpa cahaya lampu pada waktu malam, serta ada beberapa orang warga emas yang sakit, tinggal di dewan tersebut.

Selain itu, kesemua penghuni telah diberikan notis untuk mengosongkan dewan dengan segera untuk memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih dewan, yang dimaklumkan akan digunakan untuk menjalankan program bersama orang kenamaan. Bukankah Putatan kini mempunyai lebih dari tiga buah dewan yang lebih sesuai untuk menjalankan program?

Justeru, PAS Kawasan Putatan menggesa agar pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya, agar penduduk yang kurang bernasib baik ini dapat dibela setelah sekian lama terpaksa tinggal di tempat petempatan sementara. – HARAKAHDAILY 25/3/2015

Share on Myspace