Selamat menyambut Hari Polis ke-209

HARAKAHDAILY | .

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengucapkan tahniah dan syabas kepada lebih 100,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara, sempena Sambutan Hari Polis Ke-209 pada hari ini, Jumaat 25 Mac 2016.

Seluruh kepimpinan PAS pelbagai peringkat mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM dan menghargai usaha serta peranan polis menjaga keamanan negara serta keselamatan rakyat di negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.

Kami berharap pihak PDRM dapat meneruskan aktiviti dan program positif lagi proaktif dalam membendung kegiatan jenayah, ‘amar makruf’ dan mencegah mungkar serta membanteras gejala sosial yang melanggar undang-undang negara.

PAS Terengganu mewakili seluruh rakyat, agensi dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung, bersedia pada bila-bila masa bekerjasama dengan PDRM dan akan terus mengekalkan ‘perkongsian pintar’ melalui Persatuan Kepolisan Komuniti (PKK) dalam menjaga keharmonian masyarakat.

Teruskan khidmat polis yang terbukti cemerlang selama lebih 200 tahun sebagai penguatkuasa undang-undang tanpa cenderung serta ‘bias’ kepada mana-mana parti politik, organisasi atau individu tertentu, serta mengekalkan integriti, tegas, adil dan berhemah.

Kami amat faham tentang amanah yang dijunjung dan tugas-tugas pihak polis serta menyanjung tinggi segala pengorbanan para anggotanya bukan hanya kepada rakyat dan negara, bahkan kerana Allah SWT, bagi anggota yang beragama Islam.

Semoga semua anggota PDRM meneruskan tugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas.

Selamat Menyambut Hari Polis!

YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka
16 Jamadilakhir 1437/ 25 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 25/3/2016

Share on Myspace