Tidak tolak Dun bubar, PAS Terengganu bersedia

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA NERUS: Perkembangan politik semasa parti pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN), kebarangkalian pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu boleh berlaku dalam masa terdekat ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat mengarahkan kawasan-kawasan, Dun dan Unit Peti Undi (UPU) bersiap sedia dari sekarang.

Ini kerana, katanya PAS tidak menolak kebarangkalian bahawa Dun Terengganu akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Taklimat Khas PAS Pusat Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq) PAS Kuala Nerus, petang semalam.

“Tidak ditolak kebarangkalian bahawa Terengganu ini akan dibubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun). Boleh jadi ada dan boleh jadi tidak, sebab tidak tolak (kemungkinan).

“Politik ini macam ‘bola’, benda bulat. Jadi apa pun kita mesyuarat Dewan Harian baru-baru ini telah ambil keputusan semua kawasan, semua Dun dan juga UPU bersiap sedia dari sekarang.
“Selepas ini buka semula bilik gerakan, semak daftar pemilih, kemaskinikan data dan sebagainya, insya Allah jika dikatakan bila-bila masa ‘loceng’ dibunyikan untuk ke medan ‘perang’, insya Allah kita bersedia.

“Roadmap kita menuju ke Wisma Darul Iman, kalau pun tidak pada PRU14 dan kalau masa terdekat pun insya Allah, dengan izin Allah Taala kita akan kembali ke Wisma Darul Iman,” jelasnya. - HARAKAHDAILY 26/3/2016

Share on Myspace