PKPIM bantah DLP, usung keranda 152 tanda protes

HARAKAHDAILY | .

PKPIM merujuk kepada kedegilan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang meneruskan juga pelaksanaan program Dwibahasa (Dual Language Program) yang diperkenalkan awal tahun ini di 300 buah sekolah rintis seluruh Malaysia.

PKPIM menyatakan pendirian sikap kami yang konsisten membantah pelaksanaan program DLP yang pada hemat kami tidak menyelesaikan masalah penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia.

Ini jelas ditunjukkan dalam pendirian kami melalui kenyataan media PKPIM pada 06 November 2015 dan 15 Februari 2016 (Hujah-hujah bantahan dikemukakan dalam kedua-dua kenyataan media tersebut).

Menginsafi kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar, PKPIM selaku pertubuhan pelajar peringkat nasional menyokong usaha-usaha pengukuhan Bahasa Inggeris tetapi bukan dengan kaedah program Dwibahasa DLP ini yang jelas-jelas 'menghidupkan' semula "dasar gagal" Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dijanjikan oleh kerajaan untuk dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2020/2021.

Siri rundingan telah dibuat dengan pihak bertanggungjawab. Para sarjana, sasterawan dan budayawan jelas membantah dasar ini tetapi tidak dipedulikan. Soalan-soalan yang kami ajukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya dalam aspek teknikaliti dan mekanisme pelaksanaan 'dipekakkan' sahaja.

Hujah balas kerajaan, menteri dan KPM mudah, sama ada mengulang hujah lama PPSMI (yang gagal) atau cuba memburukkan pihak yang membantah dengan tuduhan jumud dan anti-Bahasa Inggeris.

Sikap seperti ini jelas tidak profesional. Justeru, PKPIM bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI, Badan Bertindak Pendidikan Kebangsaan, gerakan sivil dan organisasi pendidikan dan kemasyarakatan bersepakat untuk menganjurkan demonstrasi Bantah DLP hari ini, jam 2:30 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kami menyeru para mahasiswa, para pendidik, para aktivis dan masyarakat awam untuk sama-sama berperanserta dalam demonstrasi aman petang ini.

Dalam demonstrasi hari ini, kami akan kembali mengusung "Keranda 152" sepertimana yang pernah berlaku pada Mac 1967 dan Mac 2009.

Harapan kami kepada kerajaan Malaysia, Perdana Menteri dan KPM, bersikap teluslah dalam isu ini.  Kegusaran kami adalah berasas demi kepentingan anak bangsa Malaysia yang dicintai. Mohon kerajaan hentikan tindakan memperjudi nasib anak bangsa Malaysia yang kita cintai ini.  

MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH
Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) - HARAKAHDAILY 26/3/2016

Share on Myspace