Projek ternakan udang ancam alam sekitar, nelayan pantai

SM MOHAMED IDRIS | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan segera menghentikan projek ternakan udang di Balik Pulau kerana projek itu telah mengancam alam sekitar dan kehidupan lebih 1,000 nelayan pantai di kawasan berkenaan.

Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu kini semakin serius berlaku apabila pengusaha ternakan udang di sini terus memperluaskan kawasan projek mereka dengan memusnahkan hutan paya bakau secara berleluasa dan membuang sisa beracun ke laut tanpa menghiraukan kesan buruk yang berlaku ke atas alam sekitar di kawasan ini. Banyak pokok bakau jenis api-api telah diteroka bagi membuat kolam udang di sini.

Dalam tinjauan yang dibuat kami mendapati nelayan-nelayan pantai di lima jeti di sini teruk terjejas sumber pendapatan mereka akibat kegiatan pemusnahan hutan paya bakau dan projek ternakan udang di kawasan tersebut.

Kesan kemusnahan hutan paya bakau dan pembuangan sisa beracun dari kolam ternakan udang di sini telah menyebabkan hidupan laut seperti ikan, udang, ketam, kerang dan siput telah berkurangan.

Jeti-jeti nelayan yang terlibat dengan masalah ini ialah Kuala Sungai Pinang, Pantai Acheh, Kuala Jalan Baru, Kuala Sungai Burung dan Pulau Betong.

Jika masalah ini tidak berlaku nelayan-nelayan di kawasan berkenaan memperolehi pendapatan mencecah RM2,000 sebulan tetapi akibat kemusnahan hutan paya bakau dan pencemaran laut yang berlaku mereka hanya mendapat antara RM400 hingga RM800 sahaja sebulan.

Kami kesal walaupun masalah ini sudah lama berlaku dan banyak aduan telah dikemukakan kepada pihak kerajaan tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil.  

Bahagian Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang telah menjalankan pemeriksaan di sini mengesahkan bahawa saluran pembuangan sisa-sisa dari kolam udang di dalam parit telah menyebabkan parit tersumbat dan takungan air berlaku. Tetapi tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil kerana di luar bidang kuasa jabatan tersebut.

Punca utama masalah ini adalah penukargunaan tanah asal daripada hutan bakau ke tanah pertanian bagi tujuan akuakultur.

Pemilikan kawasan tanah bakau di lot 802 berkeluasan 93 hektar (229.8071 ekar) ini telah diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) pada tahun 2001 yang seterusnya telah memajak hutan bakau kepada pengusaha akuakultur.

Memandangkan hingga sekarang masalah ini gagal ditangani oleh pihak kerajaan dengan berkesan dan Balik Pulau merupakan salah sebuah perkampungan nelayan terbesar di Pulau Pinang serta menjadi pembekal ikan untuk para pengguna di negeri ini, SAM dan CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang mengharamkan aktiviti penerokaan hutan paya bakau dan projek ternakan udang di sini dengan segera.

SAM dan CAP juga meminta kerajaan negeri mengambil balik kawasan hutan paya bakau tersebut yang diberikan kepada Perda dan mewartakannya sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).  

Hutan bakau yang telah dimusnahkan perlu dibaikpulih dan ditanam semula dengan spesies bakau yang bersesuaian. - HARAKAHDAILY 26/3/2016

Penulis ialah Presiden SAM dan CAP.

Share on Myspace