Batal DLP elak generasi akan datang jadi mangsa

MUHAMMAD FAIZAL | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar kerajaan membatalkan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) bagi mengelakkan generasi akan datang menjadi mangsa.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, pelaksanaan DLP akan mewujudkan jurang pekerjaan masa akan datang kerana perbezaan aliran pendidikan antara  Sains dan Sastera.

"Apa yang dilaksanakan itu bukannya menuju kepada kebaikan sebaliknya kehancuran kepada generasi akan datang.

"Kita akan wujudkan ruang pekerjaan yang luas kepada mereka yang tidak mengikuti pembelajaran melalui program DLP," ucap beliau pada Himpunan Bantah DLP, petang semalam.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut menegaskan tindakan kerajaan melaksanakan DLP tanpa mengambil kira pandangan pakar-pakar bahasa serta pendidikan menjadikan DLP mempunyai kelemahan.

"Kerajaan tidak pernah duduk berbincang dengan pakar-pakar dalam melaksanakan pelbagai dasar, begitu juga dengan DLP.

"Kita lihat mereka yang menentang dasar ini adalah pakar dalam bidang masing-masing,  jadi penentangan kita ini bukan secara melulu tetapi mempunyai fakta," ujar beliau lagi.

Beliau tidak menolak DLP yang diperuntukkan sebanyak RM38 juta itu akan gagal sepertimana PPSMI sebelum ini. - HARAKAHDAILY 27/3/2016

Share on Myspace