Tuduhan palsu pemusnahan hutan simpan di Selangor

HARAKAHDAILY | .

Dalam satu kenyataan media yang diterbitkan pada 20 Mac lalu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah membuat tuduhan palsu terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Negeri Selangor mengenai “pemusnahan hutan yang sekali gus hutan simpan utama”.

Selain itu, mereka juga menuduh kerajaan negeri memusnahkan Permatang Kuarsa Gombak Selangor.

Segala anggapan dan dakwaan palsu itu yang berasaskan dua kenyataan awam yang mencadangkan 33 hektar hutan simpan dikeluar gazet di negeri ini.

Kenyataan berkenaan sejajar dengan gambaran palsu yang juga dibuat oleh komponen Barisan Nasional, Parti Gerakan Negeri Selangor.

Sesungguhnya mereka telah mengenepikan fakta bahawa jumlah gazet hutan simpan di Selangor melebihi 250,000 hektar dan sekiranya 33 hektar hutan simpan tersebut perlu digazet keluar, ianya perlu digantikan dengan keluasan dan kualiti hutan yang setaraf.

Permatang Kuarza Gombak tidak akan sama sekali disentuh dan kerajaan negeri dalam proses permohonan sejak 2014 untuk menggazetkan kawasan itu sebagai Tapak Warisan Negara.

Kerajaan negeri akan hanya membenarkan pembersihan hutan untuk tujuan projek prasarana dan kepentingan rakyat, seperti untuk membina jalan raya, laluan paip air, eletrik dan gas dan itu pun sekiranya semua kawasan pilihan lain tidak ditemukan sebagai ganti untuk projek sedemikian. Inilah 33 hektar yang dipetik oleh Parti Gerakan dan PSM daripada dua kenyataan sebelum ini.

Jabatan Hutan Negeri Selangor akan juga membantu untuk menyusun jajaran projek-projek supaya berhampiran dengan sempadan hutan simpan, atau meminta untuk dinaikkan strukturnya seperti jalanraya. Di dalam mana-mana pun hutan simpan yang perlu digazet keluar, kawasan projek yang dilaksanakan wajib digantikan.

Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor mahu menggazet keluar mana-mana kawasan hutan simpan, ianya mestilah dinyatakan dan siasatan awam akan diadakan seperti yang termaktub dalam undang-undang Negeri Selangor berkenaan pengurusan hutan simpan.

Selangor adalah kerajaan negeri pertama di negara ini yang menetapkan undang-undang hutan negeri perlu melibatkan pandangan masyarakat, dan kekal menjadi satu-satunya negeri yang melakukan hal sedemikian.

Dasar pengurusan dan pemuliharaan hutan di negeri Selangor adalah yang paling menyeluruh sejak ianya diperkenalkan pada 2009.

Selangor juga merupakan negeri pertama yang tidak membenarkan penebangan hutan untuk tujuan komersial.

Sebagai tambahan, dasar berkenaan juga menetapkan jumlah hutan simpan pada kadar 30 peratus.

Buat masa kini jumlah hutan simpan meliputi 31.56 peratus dan peratusan itu terus meningkat saban tahun.

Sejak 2009, sejumlah 12,000 hektar peluasan hutan simpan telah dapat ditingkatkan di Selangor.

ELIZABETH WONG
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor. - HARAKAHDAILY 27/3/2016

Share on Myspace