Sejarah: DAP Sabah bentuk pakatan baru tanpa PAS

HARAKAHDAILY | .

DAP SABAH UMUM BENTUK PAKATAN POLITIK BARU TANPA PAS KERANA PROTES HUDUD (27 MAC 2015)

PADA hari ini dalam tahun 2015, DAP Sabah telah mengumumkan cadangan mereka untuk membentuk Pakatan Rakyat Baru (PRB) di Sabah yang melibatkan DAP, PKR dan beberapa parti kecil lain tanpa penglibatan PAS.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt, tindakan DAP Sabah ini adalah sebagai protes terhadap usaha PAS untuk melaksanakan hudud, dan menurut beliau, tindakan ini adalah selaras dengan pendirian Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

DAP telah mengambil sikap yang keras terhadap PAS setelah Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan hasil kejayaan Jawatankuasa Teknikal Hudud dan PAS akan membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen untuk membolehkan undang-undang syariah dilaksanakan di Kelantan.

Bertindak terhadap cadangan PAS ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 24 Februari 2015 telah mengumumkan bahawa DAP telah hilang kepercayaan kepada PAS kerana 'mengkhianati' PR dengan cuba membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen untuk membolehkan PAS melaksanakan hudud.

Atas kenyataan DAP ini, PAS Labuan telah menggantung semua kerjasama dengan DAP sehingga DAP Sabah mencadangkan pembentukan PRB.

Isu perlaksanaan hudud telah lama diperjuangkan oleh PAS, bahkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS II) Kelantan telah diluluskan sejak 23 November 1993, jauh lebih awal sebelum PR ditubuhkan pada 1 April 2008.

Setelah melalui pelbagai proses, pada 23 Februari 2015, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah telah mengumumkan bahawa Kelantan telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hudud.

Jawatankuasa Teknikal Hudud Nasional dan Jawatankuasa Teknikal EKJS II Kelantan telah bersetuju supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dipinda bersama Perkara 76A(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hudud dilaksanakan.

Bertindak dari keperluan ini, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul Rang Undang-undang Persendirian untuk meminda Akta 355 di Dewan Rakyat yang mula bersidang pada 9 Mac 2015.

Pada 16 Mac 2015, DUN Kelantan telah meluluskan pindaan EKJS II Kelantan 1993 untuk memperkemaskan perlaksanaan hudud di Kelantan. Kerana sikap PAS yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah ini, DAP sebagai sekutu PAS telah menuduh PAS mengkhianati PR dan mula memusuhi PAS.

Tindakan DAP Sabah yang cuba membentuk PRB pada 27 Mac 2015 tanpa penglibatan PAS ini adalah antara usaha terawal DAP dalam menghalang undang-undang Islam dari dilaksanakan di negara ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
27 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 27/3/2016

Share on Myspace