Ramai penoreh terpaksa berhutang

ASLANI M | .

TANAH MERAH: Sekilo skrap getah sekarang RM2.40 sedangkan harga sekilo gula pula RM3. Tahun lepas hampir setahun harga getah kekal di paras RM1.70 sekilogram.

Dengan harga getah serendah itu, ramai penoreh terpaksa berhutang untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selepas rungutan dan luahan disuarakan penoreh, awal Januari lepas harga getah meningkat sedikit kepada RM1.90 sekg. Dan sekarang masih kekal di paras RM2.40 sekg.

Che Mat Che Seman, 63 berkata beliau turun rumah sebelah pagi dan pulang tengahari. Beliau menoreh getah secara pawah seluas empat ekar.

“Purata pendapatan saya hanya sekitar RM250 sebulan selepas dibahagi dua dengan tuan kebun. Bagi membolehkan membeli keperluan harian menyebabkan saya terpaksa berhutan.

“Itu pun nasib baik saya hanya tinggal bersama isteri. Anak-anak sudah berkeluarga dan mempunyai pendapatan sendiri,” katanya yang tinggal di Kampung Terasil dekat sini.

Menurutnya setiap tiga hari sekali beliau menjual skrap getah bagi membeli keperluan harian dan barangan lain.

“Selepas ditolak hutang dengan tauke pembeli skrap getah hanya beberapa ringgit sahaja yang masih berbaki,” katanya.

Namun warga emas Mohd Nor Omar, 73 lebih bernasib baik kerana getah yang ditoreh setiap hari miliknya sendirinya.

Katanya purata hasil jualan getah dalam tempoh sebulan sekarang sekitar RM360. Kebun getah miliknya seluas tiga ekar setengah.

“Nasib baik anak-anak yang membantu membolehkan pakcik membeli keperluan kerana dengan hasil getah sekarang tidak mencukupi.

“Cuba bayangkan hendak beli sekilo gula pun tidak mencukupi dengan menjual sekilo skrap,” katanya yang tinggal di Kampung Gual. - HARAKAHDAILY 27/3/2016

Share on Myspace