JK tokong gesa banyakkan dialog elak kekeliruan

HARAKAHDAILY | .

IPOH: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengadakan dialog dengan Jawatankuasa Tokong Paloh Khoo Mui, di sini petang tadi.

Menurutnya, mereka melahirkan rasa gembira kerana buat pertama kali orang Islam datang ke tokong berusia 144 tahun itu.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa Islam adalah dasar PAS, Islam bukan agama memaksa orang masuk Islam.

Di samping itu, beliau mengambil contoh di Kelantan yang diperintah oleh PAS juga ada tokong tetapi tidak diganggu.

Idris juga menjelaskan bahawa peristiwa 13 Mei tidak berlaku di Kelantan.

Justeru, katanya jika mereka hendak tahu mengenai Islam mesti mengambil daripada sumber Islam.

"Hendak tahu PAS kena dapatkan daripada orang PAS," ujarnya.

Katanya, banyak maklumat berkenaan dengan PAS lain daripada apa yang mereka tahu kebanyakannya melalui media.

"Alhamdulillah, banyak persoalan dapat diterangkan semasa dialog. Cukup harmoni, mesra," katanya lagi.

Sehubungan itu, ujar beliau pihak tokong mencadangkan supaya diperbanyakkan dialog seperti itu lagi supaya dapat mengurangkan kekeliruan.

"Kita menghadiahkan Al-Quran terjemahan Cina kepada mereka. Terima kasih kepada Mohd Tiang yang menjadi juru bahasa," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Antara pemimpin PAS Perak turut sama hadir dalam majlis itu ialah Ustaz Misbahuh Munir, Dr Raja Iskandar dan Encik Sang daripada DHPP.

Pihak tokong diwakili oleh pengerusinya, Encik Yeoh, timbalan pengerusi, Datuk Hew, setiausaha agung, Encik Phoon dan bendahari Encik Hew dan AJK yang lain. - HARAKAHDAILY 27/3/2016

Share on Myspace