Jika mahu kenali PAS pada rahsia kekuatannya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jika anda mahu mengenali PAS pada rahsia kekuatannya, maka lihatlah pada aplikasi pengajaran agama Islam yang utama di kalangan ahli PAS.

"Antaranya, keyakinan bahawa taat kepada pemimpin pada perkara yang baik dan makruf adalah ibadah dan berganjaran besar," ujar Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya, ketaatan di dalam PAS adalah umpama sebuah 'kota yang kukuh' yang terbina untuk mempertahankan PAS daripada rebah dan tewas.

Beliau menyaran supaya perhatikan aplikasi pengajaran Islam ini melalui luahan kata Pak Subky Latif, orang lama PAS yang seangkatan ayahanda TG Nik Abdul Aziz Nik Mat rahimahullah.

"Rasakan kekuatannya pada tubuh, jiwa dan sanubari beliau. Semoga kita semua dihadiahkan istiqamah di jalan Allah," tulisnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menerusi laman facebook.

Luahan Pak Subky seperti di bawah.

Tidak kira saya setuju atau tidak setuju dan tidak kira saya faham atau tidak faham. Kalau itu yang diputuskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi, saya setuju dan bila ia diputuskan oleh PAS, saya patuh. Sebab saya ahli jemaah (PAS).

Dari sedikit ilmu yang saya pelajari, ahli jemaah itu wajar patuh pada Amir dan wajar setia pada jemaah. Saya suka atau tidak suka, saya faham atau tidak faham, ia tidak mewajarkan saya membantah dan apa lagi ia tidak menghalalkan saya meninggalkan jemaah. Biarlah orang kata saya bodoh dan gila.

Biar saya bodoh macam (ikan) sepat tapi (ikan) sepat tak makan"pancing emas", daripada cerdik macam jerung, "pancing berkarat" pun ia makan. - HARAKAHDAILY 28/3/2016

Share on Myspace