DAP bukan parti cina, tapi parti keluarga Lim

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

MENTALITI baru yang cuba dibentuk oleh DAP dan cybertroopernya adalah dengan menggambarkan penentangan terhadap DAP sebagai menentang kaum Cina. Seolah-olahnya DAP adalah parti Cina.

Pejuang-pejuang PAS dari dahulu lagi menentang keras unsur perkauman seperti ini. Ulama dan aktivis senior kita telah lama menerangkan dasar nasionalis Umno itu bercanggah dengan al-Quran.

Perjuangan ketuanan Melayu tidak bersumberkan nas. Sepatutnya Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan seluruh kaum perlu diajak berjuang atas satu dasar yang boleh disepakati bersama. Hanya Islam yang boleh menjadi wadah penyatuan sejagat.

Tetapi hari ini setelah rakyat mula memahami kecacatan nasionalisme, DAP pula cuba menggambarkan parti mereka umpama parti orang cina. Apabila TGHH menyatakan (walaupun dipetik secara salah oleh Utusan) bahawa rakyat perlu bersatu menentang DAP, cybertrooper mereka terus memainkan isu kononnya TGHH seorang rasis kerana memusuhi cina. Padahal TGHH tidak pernah pun menyebut perlu menentang cina, mereka pula terasa lebih.

Cerdik pandai yang mengikuti perkembangan semakim pening. Dahulu apabila ada pihak mendakwa DAP parti chauvinis cina, mereka menafikan keras. Untuk mengaburi mata, mereka turut menjemput keahlian figur-figur Melayu dengan ramai sekali. Tetapi apabila TGHH menyerang, mereka mengaku pula DAP parti cina!

Kerisauan yang ditimbulkan TGHH itu sebenarnya berasas. Pada dasarnya sendiri, DAP adalah anak kandung PAP yang kini memerintah Singapura. Apa yang kita dapat lihat sekarang, jurang sosiopolitik dan sosioekonomi negara terbabit sangat parah.

PAP telah mengubah Singapura menjadi sebuah negara ala Diktator, apabila mereka begitu menekan parti-parti politik yang menentangnya sehingga tiada yang mampu hidup stabil.

Selain itu, PAP menjadikan Singapura sebagai pengkalan kuasa ketentaraan US di Asia Tenggara. Kita boleh melihat bagaimana sikap DAP terhadap negara barat hari ini. Oleh sebab negara kita adalah tanah air majoriti muslim, mustahil Amerika akan biarkan begitu sahaja negara umat Islam bangkit maju tanpa apa-apa gangguan.

Abaikan soal BN. Mereka sudah dikenali korup dan tidak boleh diharap dalam apa jua perkara. Namun adakah kita redha siapa jua menggantikan BN walau perangai mereka juga serupa BN? Jangan terlalu naif. Dunia ini terlalu ramai pihak yang cuba mengambil peluang dari kemarahan umat.

Cuba lihat Aun San Suu Kyi, tokoh demokrasi Myanmar yang diangkat oleh media utama sebagai pejuang keadilan moden. Apabila rakyat terlalu lama ditekan regim, mereka tidak dapat lagi berfikir dengan tenang. Matlamat mereka, asalkan regim jatuh, biarlah siapapun yang mengganti. Dengan sedikit touch up terhadap Imej Suu Kyi (dipenjara, dinafikan hak, dan lain-lain), dia terus mendapat sokongan rakyat.

Hakikatnya, beliau tidaklah menggambarkan sikap demokratik yang sebenar. Ketika ditemuramah sebuah rancangan TV, jelas beliau tidak senang apabila soalan tentang hak orang Islam Rohingya dipersoalkan.

Beliau bukan sahaja cuba mengelak, bahkan selepas berakhir temuramahnya, beliau dengan sinisnya berkata "Tiada orang memaklumkan pada saya sebelum ini bahawa penemu ramah itu adalah seorang Muslim!"

Justeru janganlah mudah percaya kepada retorik slogan 'keadilan' atau 'demokratik'. Hakikatnya mereka serupa. Di awal kebangkitan Soviet Union dahulupun, mereka menyatakan bahawa perjuangan komunisme adalah untuk membela nasib rakyat bawahan yang ditindas regim monarki. Namun akhirnya setelah diberi kuasa, merekalah punca dunia huru-hara!

Kenalilah siapa DAP sebenar. Balingan telur terhadap Lim Kit Siang oleh komuniti cina yang juga ahli DAP di Jerantut tempoh hari menggambarkan beliau bukan mewakili keseluruhan orang Cina. Bahkan sebelum inipun di Gelang Patah, pernah diusir ketika berkempen dan dihambat dengan penyapu oleh orang Cina di Kluang, Johor.

Bagi saya, DAP bukan parti Cina, tapi parti keluarga Lim. Parti asabiyah yang tebal kronismenya. Isu skandal banglo Lim Guan Eng di Penang turut menambah marah orang Cina terhadap DAP.

Kalau bukan kerana rasuah sekalipun, tentu sekali rakyat kecewa pemimpin dengan julukan Umar Abd Aziz memiliki rumah berharga jutaan ringgit. Secara atau tidak, beliau telah meniru perangai Joseph Stalin, si bapa komunis yang mengajak rakyat hidup secara kolektif, tetapi diri sendiri berlagak kapitalis!

Tentu anda juga tahu kini, sudah dua parti serpihan DAP yang ditubuhkan berbagai kaum hasil ketidakpuashatian terhadap keluarga Lim. Sedang dalam waktu yang sama, sokongan cina dan bukan Melayu lain terhadap PAS semakin pulih, walaupun sedikit terjejas di awal pergeseran PAS dengan DAP dahulu.

Silaplah DAP kalau menganggap mereka sudah berjaya memegang semua kepercayaan orang-orang cina. Kalau beberapa tahun dahulu mungkin ya. Mereka telah berjaya mencapai sokongan Cina hingga ke siling sekejap dahulu. Tetapi sekarang apabila sokongan sudah klimaks, mereka tiada tempat lagi untuk mendaki. Justeru kebawahlah pula grafnya. Benar kata pujangga arab.

إذا تم شيء بدا نقصه

Apabila telah sempurna sesuatu perkara, maka bermulalah kekurangannya!HARAKAHDAILY 28/3/2016

Share on Myspace