Adakah Teresa tak tahu atau buat-buat tak tahu?

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

SAYA tak pasti, sama ada Teresa tak tahu atau buat-buat tak tahu apa poin kes yang dibangkitkan dalam isu LGE dan Banglo.

Jika anda bagi soalan objektif kepada budak sekolah menengah, mana satukah kesalahan dalam kes ini? Adakah kerana:

1. beli banglo yang murah?
2. berkawan dengan Phang?
3. berkawan maka dapat murah sebab semata-mata kawan?
4. Banglo murah yang dijual oleh kawan yang terlibat dengan syarikat yang mendapat projek-projek di Penang?

Saya yakin budak sekolah menengahpun boleh jawab soalan objektif di atas, tak perlu nak ambil jurusan undang-undang.

Dari segi Islam, seseorang yang memegang jawatan tidak boleh mengambil hadiah kecuali daripada seseorang yang sudah biasa memberinya hadiah sebelum seseorang mendapat jawatan.

Keharusan menerima hadiah bukan disebabkan oleh kawan atau bukan kawan, tetapi disebabkan oleh adat pemberi hadiah; jika sudah menjadi adatnya memberi hadiah sebelumnya, maka diharuskan. Jika tidak maka ia tidak diharuskan. Ia merujuk kepada kaedah adat boleh menjadi hukum (العادة محكمة).

Kuncinya untuk mengetahui sama ada ia halal atau haram menerima sesuatu hadiah sebagaimana soalan nabi SAW: "jika kamu berada di rumah bapa kamu (tidak memegang jawatan ini), adakah dia (pemberi hadiah) akan memberikan hadiah ini kepada kamu?" Jika jawapannya tidak, maka ia dianggap sebagai rasuah (diinan دينا dan kadangkala qadhooan قضاء).

Ini dalam keadaan pemberi hadiah tidak mempunyai apa-apa kepentingan projek dan lain-lain. Tetapi apabila pemberi hadiah itu mempunyai kepentingan seperti ada projek yang dipohon atau yang telah diluluskan, maka ia boleh dianggap sebagai suapan (rasuah) bukan sahaja dari segi islam, tetapi mana-mana sistem duniapun.

Dalam satu riwayat, isteri Saidina Umar pernah menghantar hadiah kepada pembesar Rom, dan apabila pembesar Rom membalas semula hadiah tersebut, Saidina umar minta ia dibandingkan dengan nilai hadiah yang dihantar isterinya. Jika nilai balasan pembesar Rom lebih tinggi, maka ia tidak boleh diterima (diberikan kepada orang lain dan sebagainya).

Hari ini pegawai dibelanja minum air perkara biasa sekalipun dalam Islam dianggap sebagai Rasuah Diinan justeru dalam amaun yang kecil dan pegawai SPRM pun takkan buka fail.

Kalau belanja rumah maka ia akan jadi Rasuah Qadhaan dan dari segi konvensional pun boleh sangkut rasuah jika yang tukang belanja rumah ada kepentingan untuk dapatkan projek dan orang yang dibelanja rumah ada kuasa meluluskan projek.

Sahabat saya pernah membuat projekk Takaful di singapura. Pegawai (project manager) yang ramah di office, tetapi sebaliknya tidak kelihatan ramah apabila diajak minum air sewaktu jumpa di parking kereta.

Ia menjelaskan beliau menolak disebabkan etika dan bimbang dilihat 'conflict of interest' serta disyaki 'dibelanja'. Mereka lebih maju bukan kerana mereka (Singapura) adalah Cina atau mereka non-muslim, tetapi etika Islam itu mereka amalkan lebih daripada kita orang Islam.

Dalam kes Lim Guan Eng, bagi saya masih terlalu awal untuk saya dan rakyat menghukum. Biarlah SPRM yang siasat dan mahkamah yang tentukan. Cuma fokus saya dalam artikel ini, poin-poin pembelaan Teresa dalam isu banglo Lim Guan Eng ini sangat melucukan.

Saya nampak pembelaannya boleh membawa rebah, bukan pembelaan yang boleh membawa selamat. – HARAKAHDAILY 28/3/2016

Share on Myspace