PAS serah memo halang lantik Najib sebagai PM

HARAKAHDAILY | .

PAS SERAH MEMO KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG HALANG LANTIK NAJIB SEBAGAI PERDANA MENTERI (28 MAC 2009)

PADA hari ini dalam tahun 2009, PAS telah menyertai parti-parti Pakatan Rakyat (PR) untuk mengemukakan satu memorandum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah untuk memohon menangguhkan perlantikan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta kesemua 70 orang Ahli Parlimen PR telah mengemukakan permohonan ini kepada Istana Negara.

Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Haji Abdullah Ahmad Badawi yang terjejas teruk ekoran kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan lima buah negeri dalam Pilihan Raya Umum 2008 telah mengumumkan perletakan jawatannya dan akan mengadap Tuanku Sultan Mizan pada 2 April 2009 untuk memaklumkan hal tersebut.

Ekoran itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Abdullah yang menjadi Perdana Menteri sejak 2003.

PAS bersama-sama parti-parti pembangkang berpandangan bahawa Datuk Seri Mohd Najib tidak wajar diberikan peluang menjadi Perdana Menteri kerana namanya telah terpalit dengan beberapa skandal besar yang masih belum dibersihkan.

Antara isu-isu besar yang dikaitkan dengan beliau ialah isu pembelian kapal selam Scorpone dari Perancis di mana dikatakan berlaku penyelewengan dalam pembayaran komisyennya.

Malaysia juga dikejutkan oleh berita pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu yang dikaitkan secara langsung dengan nama beliau dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Atas asas ini, PAS melihat perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri perlu ditangguhkan sehingga sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat semua dakwaan tersebut.

Di samping itu juga, tersebar khabar angin bahawa satu usul undi tidak percaya akan dibuat terhadap di Parlimen jika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ekoran dari khabar angin tersebut, Datuk Seri Abdullah dalam ulasannya selepas Perhimpunan Agung Umno pada 29 Mac 2009 menjelaskan hal tersebut sebagai tidak perlu.

Namun begitu, di sebalik desakan pembangkang supaya Datuk Seri Mohd Najib disiasat di atas semua tuduhan tersebut, pada 3 April 2009, beliau telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kemudiannya dilingkari oleh pelbagai skandal seperti 1MDB, wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadi dan juga pelbagai krisis dalaman Umno.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 Mac 2016 – HARAKAHDAILY 28/3/2016

Share on Myspace