Ambil iktibar Rom hancur akibat rasuah - Sultan

SELANGORKINI | .

SHAH ALAM: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj mengajak seluruh rakyat dan pemimpin mengambil iktibar kehancuran Empayar Rom akibat berleluasanya amalan rasuah.

Baginda Sultan dalam titah di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-13 mahu seluruh rakyat bersatu padu dan kekuatan perpaduan digerakkan berlandaskan nilai dan prinsip murni demi kedaulatan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Khazanah negara dianugerahkan Allah SWT pupus sekiranya pemimpin bergelumang dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan tamak haloba yang hanya memerah keringat rakyat.

“Hawa nafsu manusia tidak ada batasnya seperti dikatakan Mahatma Gandhi ‘The world has enough for everyone’s need, but not enough for everyone’s greed‘,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan juga mengajak rakyat mengambil kira sejarah lalu dari Ahli Sejarah, Edward Gibbon dalam karya agungnya ‘The Decline and Fall of the Romantik Empire’.

Ia menceritakan bagaimana empayar Rom yang begitu besar, kuat dan gemilang boleh runtuh dan hancur akibat rasuah dan fitnah menjadi barah di kalangan pemimpin tertinggi ekoran gaya hidup bermewah-mewah.

Baginda Sultan turut bersyukur dalam tempoh singkat selama 18 bulan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan ahli Exco berjaya menggerakkan negeri dan rakyat bekerja berpasukan.

“Demi mempertahankan kedaulatan negeri dan menjaga kesejahteraan rakyat, pasukan ini berjaya memiliki kesatuan fikrah.

“Kesatuan ini menjadi pemangkin kepada kemakmuran negeri dan mengangkat maruah serta martabat rakyat beta,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan turut mahu anggota penjawat awam sentiasa berpegang teguh kepada piagam perkhidmatan awam dari pihak eksekutif bekerjasama secara objektif dan profesional.

“Beta berkenan semangat kerjasama di antara eksekutif, pegawai kerajaan dan rakyat diperkukuhkan untuk memajukan Selangor yang beta kasihi.

“Beta mendoakan semangat ini menjadi semakin kental supaya negeri dan rakyat terus maju, aman dan makmur,” titah Baginda Sultan.

Share on Myspace