Ganda motivasi majukan negeri, bela rakyat - Exco

HARAKAHDAILY | FOTO WAN ZAHARI | .

Adun-Adun PAS pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-13.

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Selangor menyifatkan titah perasmian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dianggap motivasi bagi melipatgandakan usaha bekerja lebih keras memajukan negeri dan membela rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata titah baginda turut mencerminkan keprihatinan baginda terhadap usaha kerajaan negeri membangunkan negeri.

“Baginda Sultan amat berpuas hati dengan perjalanan dan usaha Kerajaan Negeri. Kami amat menghargai atas sokongan Baginda Sultan dan ini motivasi bagi melipatgandakan usaha memajukan negeri serta membela nasih rakyat,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13 di Shah Alam hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib pula akan berusaha memastikan bekalan air di negeri itu sentiasa mencukupi seperti dititahkan baginda.

“Saya menjunjung kasih atas titah ucapan Tuanku. Saya juga mensyukuri apabila banyak yang baginda Sultan berkenan terhadap pendekatan dan program kerajaan negeri.

“Baginda Sultan juga ada menitahkan supaya kita memfokuskan isu air dan berkenan atas rancangan dan tindakan kerajaan negeri sama ada diambil atau akan diambil.

“Kita melihat titah itu dengan teliti untuk kita lebih bekerja keras dan merancang lebih baik atas isu pembekalan air mentah dan air terawat sekaligus memastikan air mencukupi,” katanya.

Share on Myspace