Anwar sertai Umno, akhiri spekulasi pimpin PAS (1982)

HARAKAHDAILY | .

ANWAR SERTAI UMNO, AKHIRI SPEKULASI BAKAL PEMIMPIN UTAMA PAS (29 MAC 1982)

PADA hari ini dalam tahun 1982, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anwar Ibrahim telah mengejutkan banyak pihak apabila beliau mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno dalam rangka 'membersihkan Umno dari dalam'.

Dengan penyertaannya Anwar ke dalam Umno ini, ia telah menamatkan spekulasi bahawa Anwar adalah bakal Yang Dipertua Agung PAS selepas Dato' Mohd Asri Haji Muda.

Semenjak krisis politik di Kelantan pada 1977 yang membawa kepada kekalahan PAS di Kelantan, Anwar selaku Presiden ABIM disebut-sebut sebagai layak memimpin PAS.

Anwar yang dilahirkan pada  10 Ogos 1947 di Kampung Cheruk Tokkun, Bukit Mertajam adalah lulusan Universiti Malaya pada 1971.

Semasa bergelar mahasiswa, beliau telah memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebelum memimpin ABIM selama 10 tahun mulai 1972.

Selain mengasaskan Yayasan Anda, Anwar juga adalah Presiden Majlis Beliau Malaysia (MBM) yang ditahan ISA pada 1974 selama dua tahun kerana demonstrasi isu kemiskinan Baling.

Beliau yang menolak tawaran untuk dilantik sebagai wakil Malaysia dalam United Nation Council of Youth juga adalah pemimpin World Assembly of Muslim Youth (WAMY) mewakili rantau Asia-Pasifik.

Penglibatan Anwar dengan ABIM yang dilihat pro PAS pada 1970-an telah menyebabkan ahli-ahli PAS menganggap beliau sebagai 'Pemimpin al-Kahfi' yang disebut-sebut akan menyertai dan memimpin PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum 1978 selepas kekalahan Kelantan, Anwar bersama ABIM telah berkempen membantu PAS.

Tokoh Gerakan Islam Indonesia, Pak Natsir yang menyifatkan 'PAS lesu darah' telah mengarahkan ABIM melakukan 'blood transfer' untuk mengukuhkan PAS.

Beberapa tokoh ABIM seperti Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Yahya Othman, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan lain-lain telah menyertai PAS dan bergiat aktif dalam kepemimpinan PAS.

Bahkan, telah tersebar cerita tawaran Dato' Mohd Asri bahawa beliau bersedia untuk berundur untuk memberi laluan kepada Anwar untuk memimpin PAS.

Penulis terkenal, Subky Latif ketika menulis buku 'Siapa Ganti Asri' telah menamakan Anwar sebagai calon paling layak mengambil alih kepemimpinan PAS.

Bahkan, akhbar The Straits Times Singapura pada 3 September 1980 turut menamakan Anwar sebagai tokoh yang layak mengetuai PAS selepas krisis politik Kelantan.

Disebarkan kenyataan Anwar bahawa ABIM menggalakkan ahli-ahlinya memilih berjuang mengikut corak politik Islam, pada Ogos 1980, Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin turut membuat ramalan bahawa Anwar akan menjadi pemimpin utama PAS.

Namun begitu, seluruh spekulasi dan ramalan tersebut telah berakhir apabila Anwar mengumumkan penyertaannya beliau ke dalam Umno pada 29 Mac 1982 sebagai 'ijtihad peribadi' kerana "kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dr Mahathir".

Penglibatan Anwar dalam Umno selama 16 tahun untuk "membaiki dari dalam" telah berakhir apabila beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 kerana dituduh oleh Umno terlibat dengan skandal seks liwat sejak dalam Perhimpunan Agung Umno 1997 lagi.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
29 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 29/3/2016

Share on Myspace