Harga getah jatuh, kesan besar kepada warga marhaen

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS mendakwa kerajaan tidak prihatin dengan nasib pekebun kecil yang membabitkan kira-kira 3.5 juta rakyat ketika ini ketika menghadapi penurunan harga getah dan kelapa sawit yang begitu ketara.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, rata-rata mereka yang terlibat di dalam sektor ini adalah rakyat marhaen yang bergantung sepenuhnya kepada sumber pendapatan hasil daripada menoreh.

"Sektor komoditi melibatkan ramai rakyat marhaen terutama sawit dan getah mereka yang terlibat. Getah pula 450,000. Satu keluarga kita ambil 5 orang bermakna hampir 700 keluarga yang terlibat kalau keseluruhan bermakna seramai 3.5 juta rakyat negara ini terlibat dalam sektor komoditi ini," katanya ketika mengajukan soalan tambahan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Tegasnya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, penurunan harga komoditi hari ini memberi kesan besar kepada pekebun kecil malangnya sehingga hari ini tidak nampak usaha kerajaan untuk membantu golongan ini.

Ketika dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan PAS pernah mencadangkan kepada kerajaan harga getah distabilkan dengan RM4 sekilo dan kerajaan membeli dengan harga itu sebagaimana dibuat oleh kerajaan Thailand.

"Nampaknya pandangan kita tidak mendapat perhatian kerajaan untuk membantu supaya golongan marhaen ini tidak terjejas pendapatan mereka," tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan bahawa kerajaan telah memberi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada harga bulanan yang boleh dituntut oleh pekebun.

Bagaimanapun beliau mengakui mungkin ada sedikit masalah kepada pekebun kerana kaedah pelaksanaannya, tetapi pihak kerajaan sedang memperhalusi dan menambah baik bagi memudahkan mereka mendapat bayaran insentif itu. - HARAKAHDAILY 29/3/2016

Share on Myspace