Deklarasi Rakyat: Selamatkan Malaysia atau Umno?

SYED AHMAD FADHLI | .

TIDAK kurang yang mempertikai dan memperlekeh pendirian PAS yang engggan ikut serta bersama Pakatan Harapan dan 3 M (Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz) untuk menjatuhkan PM Najib segera.

Ada yang menganggap PAS kini pro-UMNO, penasihat PM Najib.

Benarkah tanggapan sebegitu?

Memang ada yang benar-benar terkeliru, dan ada juga yang sengaja mengelirukan orang lain untuk memahami rentak politik PAS.

Sejak sekian lama, PAS melalui pendirian yang telah dinyatakan berulang kali oleh Tuan Guru Presiden bahawa PAS mahu perubahan yang dibuat mestilah kepada sistem keseluruhan bukan sekadar individu.

Persoalan mudah yang patut kita tanya kepada penggerak Deklarasi Rakyat, sekiranya PM Najib berundur sekarang, siapa yang akan menjadi PM baru?

Usah terkejut, ada 1001 jawapan berbeza yang diberikan oleh mereka.

Ada yang kata, itu persoalan kecil sahaja, kita bincang kemudian selepas PM sekarang berundur.

Ada yang kata, PM baru mestilah daripada UMNO juga kerana kami bukan mahu tukar kerajaan, hanya mahu tukar PM.

Ada yang kata, PM baru mestilah dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan.

Eh, bagaimana ini.?

Mahu tukar nakhoda bahtera pemimpin negara, tetapi penggantinya belum ada.

Yang lebih malang, jika pengganti daripada parti pemerintah yang sama.

Jadi, adakah akan berlaku perubahan dan perbezaan nanti?

Atau, sebenarnya mereka saling memperalat satu sama lain untuk mencapai ke mercu kuasa Putrajaya.

Lupakah kita PM Najib yang ada sekarang ini pun adalah anak didik yang direstui Tun Mahathir juga suatu ketika dahulu.?

PM Najib adalah produk acuan UMNO semenjak sekian lama.

Jikalau perubahan dibuat hanyalah sekadar berganti personaliti daripada acuan yang sama dan sudah sedia rosak, adakah ianya menjamin penyelesaian masalah untuk jangkamasa panjang atau sekadar solusi Mee Maggie yang segera sahaja.?

Persoalan mengenai pendirian semasa PAS ada dijawab secara hujjah ilmiah oleh Tuan Guru Presiden sendiri dalam artikel yang bertajuk "Menangguk di Air Keruh" pada Jumaat lalu.

Molek kiranya ia dibaca, diteliti dan difahami bagi yang berminat dan ingin tahu, melainkan mereka yang kerjanya siang dan malam hanya tahu mengutuk, mencaci dan mencari 1001 kesalahan PAS, bukannya mahu menyerang UMNO musuh sebenar bagai dikata,

Antara intipati utama yang ditulis oleh Tuan Guru Presiden PAS ialah:
1. Ramai kalangan bertanya, mengapa PAS tidak mengambil peluang daripada krisis parti kawan dan lawan yang sedang dihadapi oleh masing–masing? Khususnya kerana PAS dikira selesai menghadapi masalah dalamannya, sehingga menyingkirkan masalahnya menjadi serpihan.

Perlu difahami bahawa politik perlu kepada perhitungan yang amat teliti dan mendalam. Kepada ahli dan penyokong setia PAS, saya tegaskan bahawa politik yang berlandaskan Islam wajib berakhlak bagi mencapai kemenangan, bersama hikmah yang berhidayah kerana politik kita ada perhitungan dosa dan pahala.

Matlamatnya pula tidak menghalalkan cara dan bukan untuk berlumba menjadi pemimpin semata-mata atau memikul amanah menjadi peluang untuk mengambil kesempatan bagi diri dan kroni tetapi amanah menyelamatkan ummat dunia dan akhirat.

2. Ditanya mengapa PAS tidak menangguk di air keruh politik terkini?
Jawapannya kepada ahli PAS dan penyokongnya, bahawa nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak boleh menangguk di air keruh yang ikannya bercampur belut, ular dan buaya, kerana membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat, bahkan boleh menenggelamkan perahunya serta membahayakan diri.

Keadaan yang begini lebih baik menangguk di air jernih yang nampak manfaat dan dilihat mudaratnya, walaupun bersusah payah, kerana pukat kita belum kukuh, keadaannya boleh merosakkan pukat, memutuskan tali pancing dan kita masih berperahu yang boleh ditenggelamkan dengan mudah kalau dibedal buaya atau dimasuk ke dalamnya ada yang gelikan belut boleh melumpat ke dalam dan keluar atau disengat ular sehingga mati.

3. Kepada pihak yang lain saya tegaskan, bahawa kita adalah Parti Islam yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah bersama dakwah dan Siyasah Syariyyah, berkepimpinan ulama dan ilmuwan yang wajib beriman dan budiman.

PAS bukannya parti yang sifatnya angkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan. Makan diri kawan untuk naik. Angkut ahli sehingga menyusahkan diri. Nak cari setiap peluang tanpa perhitungan.

Angkara dicipta sehingga menyusahkan rakyat. Hentam melulu tanpa tujuan yang betul. Ulama dan ilmuannya laksana terompah kayu yang digunakan sekadar untuk masuk ke tandas kemudian ditinggalkan.

Marilah kita pilih politik yang jernih dan matang, bukannya menangguk di air keruh yang mengelirukan dan menyusahkan semua. Sebab yang kita hadapi kini semuanya kerana penentuan kita melalui pilihan raya. – HARAKAHDAILY 29/3/2016

Share on Myspace