MH370: Satu lagi serpihan ditemui di Afrika Selatan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Satu lagi serpihan pesawat dipercayai milik pesawat Malaysia Airlines MH370 dijumpai di Afrika Selatan semalam, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
    
Beliau berkata serpihan itu sedang diteliti sama ada mempunyai kaitan dengan mana-mana bahagian pesawat jenis Boeing 777 sebelum diambil tindakan selanjutnya.
    
"Satu lagi serpihan telah dijumpai, kami perlu terlebih dahulu tentukan sama ada ia daripada pesawat Boeing 777.
    
"Jika ia daripada Boeing 777 kami perlu pertimbangkan untuk bawanya ke Australia untuk pengesahan lebih lanjut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Teguh Bersama MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.
    
Beliau berkata dua serpihan yang dihantar sebelum ini ke Australia telah dikenal pasti berkemungkinan besar daripada pesawat malang itu.
    
"Satu lagi serpihan akan dihantar ke Australia dalam minggu ini," katanya.
    
Sehingga kini sebanyak enam serpihan pesawat ditemukan dipercayai mempunyai kaitan dengan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal.
    
Pesawat itu kemudiannya diumumkan berakhir di selatan Lautan Hindi dengan usaha pencarian di kawasan seluas 120,000 kolimeter persegi dijangka selesai Jun ini. - Bernama

Share on Myspace