Bauksit: PAS Pahang junjung kasih titah Tengku Mahkota

ANDANSURA RABU | .

PAS Pahang menjunjung kasih di atas titah KDYTM Tengku Mahkota yang mahukan isu bauksit di Pahang diselesaikan dengan baik dan mewujudkan suasana menang menang kepada semua pihak.

PAS Pahang telah lama mendesak pihak kerajaan supaya mencari satu kaedah yang baik serta berkesan bagi mengatasi masalah yang timbul akibat aktiviti perlombongan bauksit ini.

Namun pihak kerajaan gagal untuk bertindak segera sehingga masalah pencemaran sungai dan laut timbul dan tidak dapat untuk disembunyikan lagi barulah satu moratorium dilaksanakan.

Malangnya sepanjang tempoh moratorium ini berjalan bermula dari 15 Januari yang lalu, tidak ada sebarang pengumuman yang dibuat baik oleh kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan tentang apakah yang bakal dilakukan selepas tempoh moratorium ini tamat pada 14 April nanti.

Kebimbangan kami adalah sekiranya tidak ada langkah-langkah yang berkesan diambil dan dikuatkuasakan, segala masalah yang telah lalu akan berulang termasuklah perlombongan haram akan berleluasa semula.

Oleh itu, sekali lagi PAS Pahang menjunjung kasih ke atas keprihatinan KDYTM Tengku Mahkota Pahang di atas perkara ini serta mendesak pihak kerajaan supaya melanjutkan tempoh moratorium ini sehingga semua perkara berkaitan dengan aktiviti perlombongan bauksit ini benar-benar terjamin selamat dan tidak mengganggu keselesaan rakyat. - HARAKAHDAILY 29/3/2016

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Pahang yang juga Adun Beserah.

Share on Myspace