Gerakan Islam dan ulama harapan sejagat

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Gerakan Islam dan para ulama perlu terus mengukuhkan peranan menangani isu umat serta membawa penyelesaian syarak dalam masyarakat dunia.

Demikian antara intipati perbincangan dan harapan dizahirkan Timbalan Presiden Pertubuhan Ulama Muslimin Lubnan, Syeikh Dr Abdul Nasser Jabri dalam pertemuan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di sini semalam.

Beliau yang juga Presiden Harakah Al-Ummah Lubnan itu turut disertai Anggota Jawatan Kuasa Pertubuhan Ulama Muslimin Lubnan, Syeikh Mohamad El-Khoder.

Dalam pertemuan tersebut, ketiga-tiga ulama ini berbincang serius isu perpecahan umat Islam akibat kegagalan menangani sesuatu isu secara mendalam, selain berdepan campur tangan asing.

Pun begitu, Dr Abdul Nasser dan Syeikh Mohamad merakamkan penghargaan terima kasih kepada Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Naib Ketua Pertubuhan Ulama Muslimin Sedunia atas peranan beliau dan juga PAS.

Mereka berharap agar peranan sewajarnya terus dilangsungkan oleh Gerakan Islam dan para ulama demi kepentingan sejagat. – HARAKAHDAILY 29/3/16

Share on Myspace