Generasi tuntut ganti segera Pengerusi Felda

SALMIYAH HARUN | FOTO NASIR SUDIN | .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) hari ini menuntut pihak kerajaan bertindak segera menggantikan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Presiden Generasi Roslan Md Isa menegaskan perkara itu dalam satu memorandum kepada Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang disampaikan melalui Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad di pekarangan bangunan Parlimen hari ini.

Menurut beliau Felda mula menjadi tidak stabil selepas Isa samad dilantik menjadi pengerusi pada Januari 2011 dan Felda Global Venture (FGV) disenaraikan di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur setahun kemudian.

"Sejak itu, banyak isu yang melanda Felda isu pembelian hotel dan apartmen, isu KPF, isu Perumahan Generasi kedua Felda PGBF, isu kejatuhan komoditi sawit dan getah, isu tanam semula kedua peneroka Felda dalam pembelian saham perladangan menyebabkan Felda rugi," katanya.

Beliau berkata, beberapa tahun lalu, banyak pembelian tanah perladangan dan perhotelan di dalam dan luar negara telah dibuat.

Katanya, RM1.2 bilion digunakan untuk mengambil alih saham Pontian United Palntation Berhad, RM500 juta untuk pembelian Grand Plaza Service Apartment, RM110 juta dan pelbagai transaksi pengambilalihan saham syarikat tertentu," jelas beliau.

Jelasnya, terkini peneroka Felda sedang berdepan dengan penjajahan baharu iaitu projek tanam semula kedua yang akan merekodkan hutang pada tahun ke-8 selepas perjanjian baharu ini ialah RM169,600 bagi setiap peneroka Felda.

"Jika kita ambil purata hutang lama RM30,000 hingga RM140,000 (nilai yang tidak sama di antara peneroka)  yang masih berbaki dan dicampur dengan hutang ini, maka pastinya peneroka bakal berhutang sekurangnya RM200,000 atau lebih diketika berusia 80 tahun," ujarnya.

Berhubung perumahan generasi Felda, katanya bermula dengan projek sentuhan kasih, Perumahan Warga Felda (PWF) dan kini Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) masih sangat perlahan untuk memenuhi keperluan anak peneroka Felda.

Tambahnya, peruntukan RM1.4 bilion yang diumumkan beberapa tahun lalu dibimbangi tidak diurus dengan baik untuk mencapai tujuan asal pembinaan 20,000 unit PGBF ini. - HARAKAHDAILY 29/3/2016

Share on Myspace