‘Pertanian Adalah Perniagaan’ - Slogan untuk siapa?

HARAKAHDAILY | .

SLOGAN ini terbit daripada pemimpin negara dan agensi kerajaan untuk menjinakkan hati rakyat yang menjadi petani. Petani juga boleh maju dan bersenang jika menyertai kelompok bisnes dengan hasil tani mereka.

Selepas 60 tahun merdeka, sektor pertanian diharapkan tidak lagi menjadi aktiviti sara diri, tetapi berubah dan berkembang menjadi aktiviti bisnes. Tetapi, hakikatnya bisnes kekal di tangan orang bisnes, petani kekal menjadi pengeluar yang terkeluar dari lingkungan kegiatan bisnes yang menghasilkan untung.

Komoditi getah dan semua yang berkaitan dengan pokok getah (hevea brasiliensis) adalah sektor pertanian bukan makanan. Ia adalah bahan mentah industri. Oleh sebab getah tidak boleh dimakan, ia sewajarnya paling releven untuk terangkum dalam slogan pertanian adalah perniagaan. Produk getah adalah barang dagangan, bukan makanan.

Pekebun kecil di kampung dan desa menghasilkan 94 peratus bekalan komoditi getah negara, 6 peratus lagi melalui pemilik ladang dan estet.

Menghasilkan sekilogram getah sekerap perlukan modal wang dan keringat. Dalam bidang ekonomi, tanah, wang, upah dan keringat usahawan adalah modal (kapital). Membelanjakan wang dan memerah keringat dalam perniagaan adalah pelaburan, matlamatnya adalah keuntungan,  proses asasnya seperti berikut:
1.Tanah - dibeli, diteroka atau dipusakai
2.Benih getah - dibeli atau disemai sendiri
3.Penanaman - diupah atau dibuat sendiri
4.Penjagaan awal (5 - 7 tahun) - diupah atau dibuat sendiri
5.Baja dan racun tanaman – dibeli
6.Menoreh dan mengumpul sekerap - diupah atau dibuat sendiri

Perbelanjaan yang dikeluarkan bagi menghasilkan getah sekerap berupa perbelanjaan modal (capex) dan perbelanjaan operasi (opex). Membaja, mencuci dan meracun, menyulam, menoreh dan memungut adalah opex yang berulang-ulang.

Setelah 100 tahun tanaman ini diperkenalkan dan menjadi kegiatan ekonomi yang membangunkan negara ini, penoreh dan pekebun kecil getah kekal menjadi pengeluar serba daif, miskin dan terpinggir dalam kitaran bisnes.

Hasil getah mereka dibeli di bawah paras kos modal dan kos operasi. Kos modal penoreh ialah RM2.80 - 3.20 sekilo, tetapi sekerap hanya terjual pada kadar RM1.90 - 2.20 pada waktu ini.

Kegiatan yang mendatangkan kerugian lebih banyak daripada keuntungan bukanlah satu pelaburan bijak.

Kerajaan mengesyorkan sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) wajar mencapai margin 30 peratus untuk menentukan aliran tunai (cash flow) dan aktiviti mereka releven dalam pasaran. Pada kadar margin  keuntungan bisnes sekerap adalah negatif (-RM1.00 sekilo), pekebun wajar mengubah pelan bisnes mereka.

Pengilang-pengilang dan pengeksport getah menjana keuntungan dengan selamat dan terkawal, dijamin oleh agensi-agensi kerajaan – di atas kesempitan dan kerugian petani dan penoreh yang berterusan. Menjerit kelaparan pun tidak diendahkan. Inilah maksud slogan “Pertanian Adalah Perniagaan”.

Kayu Getah Pula Dikawal Dengan Kuota Eksport

Selain sekerap, kayu getah adalah bahan industri yang semakin berkembang. Permintaan dunia untuk gayu getah bergergaji ialah 600,000 meter padu setahun. Ia berkembang sebagai bahan bernilai dalam industri perabut dan pembinaan.

Thailand, Malaysia, Indonesia, Veatnam, Kemboja adalah antara pengeluar getah dan kayu getah. Ketika negara-negara jiran kita berkejaran memenuhi permintaan untuk kayu getah bergergaji, Malaysia pula mengenakan kuota eksport bahan itu melalui Malaysian Timber Industry Board (MTIB).

Harga kayu getah di ladang-ladang Thailand meningkat sehingga RM25,000 hingga RM35,000 sehektar. Di Malaysia harga kayu kekal rendah antara RM2,000 hingga RM7,000 sehektar. Apakah rahsia yang diselindung disebalik sekatan eksport itu? Tauke-tauke perabot mahu harga bahan mentah industri mereka kekal murah untuk menjana untung yang maksimum.

Pekebun dan penoreh Malaysia terpaksa menyimpan pokok yang telah matang dan terus menoreh dalam bisnes rugi terus-menerus untuk menjamin untung tauke-tauke. Bisnes bidang ini sebetulnya untuk mereka, bukan untuk kita semua, warga penoreh.

Agensi Berbisnes-Merekalah Yang Kaya

Sektor getah 'bertuah' kerana berpuluh agensi kerajaan ditubuhkan untuk 'membantu' dan membabitkan diri, menyelia bagi memajukan petani dan perniagaan ini. Lembaga Getah Malaysia (LGM), RISDA, Kementerian Perladangan Industri dan komoditi (MPIC), juga terdapat lagi kementerian lain seperti MITI, agensinya MIDA dan lain-lain untuk menguruskan urusan bisnes ini ke luar negara.

Diwujudkan juga agensi besar seperti Felda (dibawah Jabatan Perdana Menteri), Pihak Berkuasa Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) - dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Mereka terbabit terus dan langsung dalam sektor getah.

Agensi-agensi besar ini pula menubuhkan berpuluh-puluh syarikat perniagaan di bawah mereka, sebahagiannya telah menjadi gergasi dalam bisnes berkaitan getah dan kebun getah. Mereka juga memiliki ladang mereka sendiri.

Agensi-agensi kerajaan ini terus berkembang menjadi gergasi dalam bisnes berkaitan getah. Kerja mereka ialah membekal membuat dan menguatkuasakan undang-undang, memonopoli bekalan benih dan baja, menyedia khidmat penyelidikan dan menjualnya.

Mereka mengutip cukai ses, mengumpul caruman penoreh untuk tanaman semula kebun, memulangkan caruman pekebun selepas 25 tahun dalam bentuk benih dan baja dari anak syarikat mereka, mengumumkan pemulangan itu sebagai bantuan tanaman semula oleh kerajaan.

Mereka juga menguruskan ladang milik agensi, mengadakan seminar, mesyuarat, dan menyampaikan anugerah tahunan. Mereka menerima peruntukan tahunan daripada bajet negara RM800 juta setahun, pejabat mereka berhawa dingin di menara-menara tinggi, pegawai mereka bergaji tetap. Mereka juga bertugas untuk mengumumkan harga getah sebagai bahan mentah bagi pihak kapitalis pengilang dan industri berasaskan getah tempatan dan dunia. Dua kali sehari.

Harga bahan mentah industri mestilah sentiasa murah dan bekalan harus sentiasa mencukupi untuk kilang beroperasi. Mereka dikawal oleh Ahli Lembaga Pengarah mewakili menteri, pengilang dan pemain industri. Agensi-agensi telah menjalani transformasi - daripada agensi diwujudkan untuk rakyat menjadi agensi korporat untuk memelihara industri.

MTIB kini menyertai agensi-agensi lain sebagai ‘bodyguard’ kepada  pengilang perabut dan bahan binaan berasaskan kayu getah. Mereka ikut memayungi kapitalis dan orang kaya.

Jika pekebun memiliki 4 hektar (15 relong) tanah kebun getah, mereka boleh menjana minimum RM100,000 pada tahun ke 15 - usia pokok getah matang dan boleh dibuat tanaman semula. Jika 7.5 relong, mereka boleh dapat sekurang-kurang RM50,000 daripada jualan kayu getah jika harga kayu kita menyamai Thailand.
 
Bagi mencapai tahap itu, kuota sekatan eksport ini harus dibatalkan. Sekerap murah boleh menjadi by-product (produk sampingan) dalam perniagaan kayu getah yang mendapat permintaan tinggi dunia.

Pelan bisnes pekebun kecil dan penoreh boleh diubah untuk menjana pendapatan yang lebih baik berbanding kerugian dialami sekarang. Ini boleh berlaku dengan meruntuhkan kawalan kapitalis pengilang terhadap dasar-dasar kerajaan yang dikuatkuasakan oleh agensi kerajaan.

Reformasi terhadap dasar dan undang-undang perlu dilaksanakan. Kerajaan jangan menjadi 'suruhan' kapitalis.  Dalam istilah pasar - Jangan jadi barua orang kaya-kaya.

Kalau ia sudah berakar tunjang berpuluh tahun dan tidak boleh diubah lagi, kita wajib menukar kerajaan ini.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat – HARAKAHDAILY 29/3/2016

Share on Myspace