Pencemaran sungai: Masih tiada tindakan dari MBM

JOFRI JARAIEE | .

MIRI: Penyelaras PAS DUN Lambir dan juga merangkap Ketua Pemuda PAS Sarawak Mohammad Arifiriazul Paijo telah melakukan lawatan susulan ke kawasan anak sungai di Kampung Subak, Bekenu baru-baru ini bagi melihat perkembangan laporan berkenaan dengan pencemaran sisa kotoran di pelupusan sampah yang telah dilakukan pada Ogos tahun lepas.
 
Hasil dari tinjauan itu, keadaan air di sungai tersebut masih lagi dalam keadaan kualiti yang tercemar dan membimbangkan penduduk di sekitar kerana bila dilihat pada sampel air dalam botol nampak keruh.
 
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang bertanggungjawab menguruskan fasiliti itu masih belum mengambil langkah pembaikan terhadap sistem pembentungan di tapak perlupusan sampah tersebut.

Dalam masa yang sama, pihak penduduk di sekitar Kampung Subak dan beberapa kampung berhampiran masih lagi terganggu akibat daripada bau busuk yang terhasil daripada tapak perlupusan sampah tersebut.
 
Oleh hal yang demikian PAS Lambir mengesa pihak Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan siasatan terperinci terhadap pencemaran air sungai akibat daripada sisa cecair yang terhasil daripada tapak perlupusan sampah tersebut.
 
Sekali lagi PAS Lambir meminta penjelasan daripada pihak MBM berkenaan dengan perancangan untuk memindahkan tapak perlupusan tersebut ke lokasi yang lebih selamat dan jauh daripada penempatan penduduk di sekitar Kampung Subak.
 
PAS sentiasa memperjuangkan nasib rakyat agar terjamin dari pencemaran akibat dari sisa kotoran pelupusan sampah yang boleh mengakibatkan kesihatan penduduk di situ terganggu.
 
Kerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk mengatasi masalah ini dengan segera amat dihargai. – HARAKAHDAILY 30/3/2016

Share on Myspace