DLP: Kenapa tawar pilihan untuk sesuatu yang gagal?

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ | .

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan yang menyatakan DLP adalah program pilihan justeru ia dikatakan adalah suatu yang baik untuk diteruskan.

Abim berpandangan bahawa tindakan kerajaan yang membuka pilihan untuk diajar subjek sepertI STEM (Sains Teknologi & Matematik) di Sekolah Kebangsaan dalam Bahasa Inggeris menerusi DLP adalah satu kesilapan besar.

Ia seolah-olah menunjukkan kerajaan sengaja mengada-adakan perlumbaan antara Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sedangkan tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara, memartabat dan memperkasa Bahasa Kebangsaan serta mencorak identiti pelajar sekolah kebangsaan berdasarkan asas pendidikan kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan bukan mengada-adakan perlumbaan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Abim juga ingin melahirkan kehairanan mengapa kerajaan memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih sesuatu dasar yang sudah terbukti gagal?

Rujukan kami adalah kajian kepada Dasar PPSMI yang dibuat oleh Jemaah Nazir Persekutuan KPM sendiri menerusi sampel ke atas 1942 murid tahun 5 kohort 2 (2004) dari 56 sekolah yang menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi.

Selain itu, kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), menerusi 90 SR, 70 SM yang meliputi 15,089 pelajar di bandar, luar bandar, sekolah pedalaman, dan SK Pulau telah menunjukkan:

- Untuk sekolah rendah mata pelajaran Sains hanya menyumbang peningkatan BI sebanyak 0.7% & Matematik tiada sumbangan.

- Sekolah Menengah (Aliran sastera) bagi subjek Matematik hanya 1.0%, dan subjek Sains hanya 0.6%

- Sekolah Menengah (Sains) Kimia 2 - 0.6% Matematik Tambahan 0.3%.

Justeru, tindakan kerajaan untuk melaksanakan DLP dengan tujuan untuk memperkasa Bahasa Inggeris adalah satu tindakan yang membingungkan, mengelirukan serta tidak bertitik tolak berasaskan fakta dan kajian.

Selain itu, hasil ujian Antarabangsa - TIMMS 2007 dan PISA 2012 sewaktu era PPSMI- Kedudukan Malaysia telah menjunam - kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMMS 1999 & 2003 (sebelum PPSMI) - dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.

Lantaran, Abim mengulangi tuntutan untuk kerajaan fokus kepada agenda memperkasa subjek Bahasa Inggeris di Sekolah bukan dengan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di Sekolah Kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terdiri dari ahli akademik, NGO, parti politik, aktivis masyarakat, sasterawan, golongan pelajar, seniman dan budayawan yang turut sama dalam perarakan mengusung Keranda 152 ketiga dalam sejarah negara pada 26 Mac 2016 sebagai manifestasi kepada kekecewaan terhadap tindakan kerajaan yang memungkiri janji untuk memartabat Bahasa Kebangsaan dan memansuhkan dasar atau program mirip PPSMI. - HARAKAHDAILY 30/3/2016

Penulis ialah Setiausaha Agung Abim.

Share on Myspace