Sejarah penyertaan PAS dalam PRN Sarawak

MUHTAR SUHAILI | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sarawak secara rasminya ditubuhkan pada 25 September 1996 bersamaan 12 Jamadil Akhir 1416H dengan perlantikan Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi sebagai Pesuruh Jaya PAS Sarawak yang pertama bagi sesi kepimpinan 1995-1997.

Ini bermakna tahun ini 2016 genaplah PAS Sarawak berusia 20 Tahun! Dua dekad PAS terlibat dalam mewarnai usaha dan gerak kerja mengangkat agenda siasah (politik), dakwah dan tarbiyah Islamiyah di Bumi Kenyalang.

Berikut merupakan Pesuruhjaya PAS Sarawak semenjak penubuhannya sehingga kini:
Penaja: Ustaz Mansor Din (Almarhum)
1995-2003: Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi
2003-2009: Tuan Hj Adam Ahid (Almarhum)
2009-2010: Ustaz Othman Mustapha (meletak jawatan pada 30 Mei 2010)
2010-2015: Tuan Hj Adam Ahid (Almarhum)
2015-Kini: Tuan Haji Jofri Jaraiee.

Pada tahun 2001 PAS telah mencipta sejarah apabila ia merupakan kali pertama melibatkan diri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. Sebelumnya PAS Sarawak telah mengukir sejarah bila buat julung kalinya bertanding dalam Pilihan Raya Umum tahun 1999 untuk Kerusi Parlimen iaitu di P.174 Batang Sadong.

Sarawak satu-satunya negeri yang masih menjalankan Pilihan Raya Kerusi Parlimen dan Pilihan Raya Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan.

Keputusan Pilihanraya P.174 Batang Sadong pada Pilihana Raya Umum tahun 1999 adalah seperti berikut:
BN - Hajjah Sukinam Domo (7,656 undi)
KeADILan - Sahari Pet (701 undi)
PAS - Othman Mustapha @ Mos (2,438 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 5,218 undi.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-8 yang diadakan pada 27 September 2001, dengan tema "Kamek Nyokong PAS, Sik Nyokong BN", PAS membuat keputusan bertanding di tiga Kerusi daripada 62 Kerusi DUN pada masa tersebut seperti berikut:
N.07 Samariang
Calon: Mohd Shokri Mohd Fauzi
N.18 Sadong Jaya
Calon: Haji Adam Ahid (Almarhum)
N.21 Beting Maro
Calon: Abang Ahmad Abang Dahalan

Ketiga-tiga DUN tersebut menjadi DUN “angkat” kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu (DUN Samariang), Kedah (DUN Sadong Jaya) dan Kelantan (DUN Beting Maro).

Pada masa kempen pilihan raya 2001, tiga pemimpin utama PAS Pusat terdiri daripada YAB Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - Mursyidul Am (Almarhum), YB Dato' Haji Fadzil Mohd Nor -Presiden (Almarhum) dan YAB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang - Timbalan Presiden telah turun padang mengetuai perarakan ke pusat penamaan calon di tempat masing-masing.

Sebelumnya pada sebelah malam 17 September 2001, kesemua pemimpin tertinggi tersebut telah mengadakan ceramah pengisytiharan nama calon di tempat masing-masing.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengetuai perarakan di Dun N.07 Samariang. Pusat Penamaan calon bagi Dun tersebut adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan Petrajaya II.

Di Dun N.18 Sadong Jaya pula, Presiden PAS Dato' Fadzil Mohd Nor mengetuai perarakan di pusat penamaan calon di Sekolah Kebangsaan Iboi Maloi.

Sementara itu YAB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengetuai perarakan menuju ke Pejabat Daerah Pusa yang merupakan Pusat Penamaan calon di Dun N.21 Beting Maro.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan bahawa inilah kali pertama (tahun 2001) kehadiran PAS di dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan ia lebih kepada untuk menyemai benih bagi terus bertapak. Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya sejauhmana peluang PAS di dalam Pilihan Raya Negeri Ke-8 tersebut.

Apabila ditanya oleh wartawan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, berkaitan kemungkinan akan berlaku pertembungan antara sesama parti Barisan Alternarif (BA) di DUN Samariang, beliau menjelaskan bahawa itu merupakan perkara teknikal yang sebelum ini telah berlaku.

Beliau memberi contoh bagaimana di dalam Pilihan Raya Umum 1999, pertandingan tiga penjuru telah berlaku di Parlimen P.174 Batang Sadong (seperti dinyatakan di awal tadi).

Sementara itu, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Ustaz Hussin Awang yang hadir bersama pasukan bantu dari Terengganu, ketika menyampaikan ceramah perasmian POS UPU Samariang di Kampung Samariang Hulu pada masa tersebut telah menjelaskan:

"PAS bertanding hanya di tiga Dun di Sarawak dalam Pilihanraya Negeri Ke-8 adalah sebagai permulaan untuk bertapak di Sarawak.

“Walaupun kali ini PAS hanya meletakkan tiga calon, ia akan menjadi suara penegur kepada kerajaan yang memerintah. Ini kerana sudah terlalu banyak kesilapan serta kelemahan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN yang dipimpin oleh PBB.

“Oleh itu, amat wajarlah pengundi di Samariang memberi peluang kepada PAS dalam Pilihan Raya kali ini," ujar beliau.

Keputusan calon PAS di Dun Beting Maro dan Sadong Jaya pada Pilihan Raya Negeri tahun 2001 amat memberangsangkan. Namun di Dun Samariang, calon PAS telah hilang deposit dalam satu pertandingan tiga penjuru dengan calon BN (PBB) dan PKR. – HARAKAHDAILY 30/3/2015

Penulis ialah Setiausaha PAS Negeri Sarawak

Share on Myspace