Penjelasan kekeliruan hukuman parol Khir Toyo

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Lembaga Parol Kementerian Dalam Negeri yang bersidang semalam telah menimbang dan meluluskan permohonan parol bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo setelah menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Kajang, Selangor.

Di bawah sistem ini, Khir Toyo diparolkan untuk menjalani baki hukuman penjara selama dua bulan di luar penjara sehingga tarikh pembebasan hukuman beliau pada 29 Mei 2016, hanya sekiranya beliau tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan Lembaga Parol.

Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam kenyataannya hari ini bagi menjelaskan kekeliruan berhubung hukuman parol Khir Toyo yang diluluskan pada 29 Mac 2016.

Di bawah sistem penjara negara ini, katanya, seseorang banduan layak mendapat remitan iaitu satu pertiga daripada jumlah hukuman sekiranya Jabatan Penjara Malaysia berpuas hati dengan tahap pemulihan banduan semasa menjalani hukuman di penjara.

Dalam konteks ini, katanya, Khir Toyo yang dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di atas kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan mula menjalani hukuman penjara pada 29 September 2015 yang sepatutnya berakhir 28 September 2016.

Beliau mendapat remitan empat bulan oleh Jabatan Penjara Malaysia dan menjalani hukuman penjara selama 8 bulan iaitu sehingga 29 Mei 2016.

Khir Toyo disabitkan atas pertuduhan menyalahguna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada tahun 2007 untuk dirinya dan isteri.

September tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan hukuman selama 12 bulan penjara sabitan terhadap beliau.- HARAKAHDAILY 30/3/2016

Share on Myspace