Elaun Guru Kafa Selangor tertinggi di Malaysia

SAIDAH HAIRAN | .

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor membayar elaun guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa)  tertinggi jika dibanding dengan negeri-negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, RM1,500 sebulan adalah elaun tertinggi guru-guru Kafa di Malaysia berbanding negeri lain.

Katanya, semua guru Kafa layak menikmati kenaikan elaun bulanan berasaskan tahun perkhidmatan dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan mulai Januari 2016.

"Guru yang berkhidmat di bawah lima tahun akan menikmati tambahan elaun RM50," katanya menjawab pertanyaan Kamarol Zaki Abdul Malik (BN-Sungai Air Tawar).

Tambah beliau, guru yang berkhidmat dari lima hingga 10 tambahan RM100, 10 hingga 15 tahun tambahan RM150 dan melebihi 15 tahun perkhidmatan tambahan RM200.

"Pembayaran di lakukan secara berperingkat mulai Mac 2016," katanya.

Hal ini kerana katanya di sebabkan proses kemaskini data guru-guru Kafa sama ada guru-guru yang sedia ada dan guru-guru Kafa yang baru dilantik atau berhenti.

"Kenaikan elaun ini menggunakan peruntukan yang telah di luluskan dalam sidang belanjawan 2016 lebih RM 18 juta," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang memberi sumbangan lebih kurang RM37 juta setiap tahun.

Katanya, sumbangan itu untuk bayaran elaun guru-guru takmir, imam, pegawai Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dan guru-guru Kafa di negeri selangor.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah lebih RM65 juta setahun untuk bayaran elaun guru-guru Kafa.

Menurut beliau, daripada 6,900 guru Kafa separuh daripada mereka elaun mereka dibiayai sepenuhnya daripada kerajaan negeri Selangor.

"Tidak sampai 50 peratus dari jumlah guru-guru Kafa elaun RM800 sebulan dari pembiayaan kerajaan Pusat," tegasnya. – HARAKAHDAILY 30/3/2016

Share on Myspace