Pelik: Kos sara hidup tinggi, taraf pendidikan rendah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini yang mendakwa kos sara hidup tinggi adalah berpunca dari taraf pendidikan yang rendah adalah sangat pelik dan tidak masuk akal.

Presiden Majlis Perundiangan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata isu yang diketengahkan ialah kenapa kos barangan dan perkhidmatan terus meningkat.

"Apakah kaitannya dengan taraf pendidikan rendah?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, jika taraf pendidikan tinggi sekalipun kos sara hidup tetap akan meningkat mengikut pasaran bebas yang diamalkan.

Menurutnya, isu yang perlu ditangani ialah kerajaan perlu memperbetulkan sistem ekonomi pasaran bebas serta dasar percukaian negara.

Beliau berkata, faktor yang paling cepat meningkatkan kos sara hidup ialah apabila keperluan asas rakyat dibiarkan ditentukan oleh pasaran.

Tambahnya lagi, walaupun ada kawalan oleh pihak kerajaan dalam penentuan harga barangan tertentu dan perkhidmatan terpilih, akan tetapi kerajaan nampaknya berlepas tangan apabila kos pengeluaran meningkat dan dengan sebab itu harga barangan juga melambung.

"Kami kesal dengan logik yang diguna oleh PM untuk mengaitkan kos sara hidup dengan taraf pendidikan.

"Apakah dengan meningkatnya mereka yang berdiploma dan berijazah maka kos sara hidup akan menurun?" ujarnya lagi.

Katanya, negara maju yang mempunyai taraf pendidikan dan pendapatan yang tinggi sekalipun akan berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat akibat pasaran bebas yang diamalkan oleh negara tersebut.

"Kami menggesa kerajaan tidak mengenepikan keresahan rakyat terhadap salah urustadbir khazanah negara, rasuah, ketirisan peruntukkan dan pembaziran yang masih menjadi barah negara yang mengambil berbilion ringgit sumber negara," katanya lagi.

Natijahnya, ujar beliau rakyat terpaksa menanggung beban dalam bentuk kos sara hidup yang tidak mampu dikawal oleh kerajaan. - HARAKAHDAILY 30/3/2016

Share on Myspace