Latihan simulasi lapangan AI Malaysia-Thailand 2016

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Avian Influenza A (AI) adalah penyakit selsema yang berlaku di kalangan unggas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Secara umumnya, kata beliau jangkitan AI daripada unggas kepada manusia hanya boleh berlaku jika terdapat pendedahan kepada unggas yang telah dijangkiti dengan virus selsema burung tersebut.

Katanya, kejadian terakhir wabak “highly pathogenic avian influenza (HPAI)” di kalangan unggas dilaporkan pada tahun 2007 dan Malaysia telah kekal bebas daripada HPAI sejak 2 September 2007.

"Sehingga kini, tiada kes AI di kalangan manusia dilaporkan di Malaysia," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sebagai langkah kesiapsiaagan, Latihan Simulasi AI dijalankan setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV).

Tambahnya, sejak 2011 sehingga 2014, latihan simulasi AI peringkat kebangsaan telah berjaya dianjurkan di Negeri Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Beliau berkata, wakil dari Kementerian Kesihatan Negara Asean seperti Singapura, Indonesia dan Thailand telah dijemput sebagai pemerhati (observer).

Bagi tahun 2016, jelasnya Latihan Simulasi AI Peringkat Kebangsaan diadakan di Kedah iaitu negeri yang bersempadan dengan province Songkhla di Thailand pada 31 Mac hingga 01 April 2016.

"Latihan ini diadakan secara simulasi bersama dengan negara Thailand (cross border simulation exercise) yang diketuai dan diselaraskan oleh KKM dengan kerjasama pelbagai agensi seperti JPV, Majlis Keselamatan Negara dan Imigresen," ujarnya lagi.

Katanya lagi, seramai 239 peserta dari Malaysia dan 87 peserta dari Thailand terlibat di dalam latihan simulasi itu.

Tambah beliau, tujuan latihan simulasi itu diadakan adalah untuk menilai keupayaan dan tahap kesiapsiagaan setiap agensi yang terlibat selain daripada mengukuhkan lagi kolaborasi di antara dua negara dalam kesiapsiagaan dan respons terhadap kejadian yang melibatkan HPAI dan penyakit berjangkit lain yang menyeberangi sempadan (cross border). - HARAKAHDAILY 31/3/2016

Share on Myspace