Berada di puncak kuasa, akhirnya tersungkur hina

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jadilah hamba Allah yang bersyukur apabila memperolehi nikmat, kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

"Semoga nikmat ini semakin dekat dengan Allah SWT bukan sebaliknya. Gunakanlah nikmat ini untuk melaksanakan amanah Allah yang ditaklifkan kepada kita," ujarnya menerusi laman facebook.

Ini, katanya dengan harapan nikmat itu membuahkan hasil yang baik sewaktu bertemu dengan Allah SWT.

Jelasnya, nikmat adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang boleh ditarik pada bila-bila masa.

Katanya, berapa ramai mereka yang segar badan, tiba-tiba diserang penyakit yang lumpuh tubuh badan dan berapa ramai yang kaya raya di dalam sekelip mata menjadi papa.

"Berapa ramai yang berada di puncak kuasa, akhirnya tersungkur hina. Manfaatlah nikmat Allah sebelum ia hilang daripada kita," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Justeru, kata beliau jangan kita bergembira apabila nikmat yang kita perolehi di dalam keadaan Allah SWT murka kepada kelakuan kita sehingga kita sangka Allah kasih kepada kita.

Sedangkan, jelas beliau ini merupakan 'istidraj' yakni semakin jauh dengan Allah, semakin bertambah pula nikmat dunia sehingga kebenaran dianggap batil, batil dianggap benar. - HARAKAHDAILY 31/3/2016

Share on Myspace