Setahun GST barang keperluan makin mahal

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Ketika peringkat awal cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mahu diperkenalkan, kerajaan memberi jaminan harga barang akan menjadi lebih murah.

Itu jaminan diberi termasuk disebut Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain.

Namun sekarang barangan apa yang dikatakan murah, tanya Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim.
Katanya, rakyat masih ingat janji kerajaan yang menyebut mereka akan mendapat manfaat serta-merta terhadap pelaksanaan GST.

“Janji kerajaan juga GST akan memberi kesan kepada penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) sekali gus menurunkan perbelanjaan isi rumah.

“Malangnya selepas setahun GST dilaksanakan semua unjuran dan jangkaan kerajaan tidak menjadi kenyataan,” katanya di sini.

GST diperkenalkan mulai 1 April tahun lepas menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menurutnya juga orang ramai masih keliru impak pelaksanaan GST terhadap 350 jenis barangan yang pernah disebut akan berlaku penurunan harga.

Kata beliau pelaksanaan GST bukan bertujuan mengatasi kelemahan cukai SST sebaliknya menjadi galang ganti menampung ketirisan dan salah tatakelola pengurusan kerajaan Barisan Nasional.

GST mengunjurkan kutipan sebanyak RM27 bilion dan boleh meningkat sehingga RM30 bilion setahun berbanding kutipan cukai sebelum ini. - HARAKAHDAILY 31/3/2016

Share on Myspace