RM600,000 insentif pelajar cemerlang

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas bakal menerima insentif kerajaan negeri.

Pelajar terbabit disyaratkan mendapat 9A ke atas bagi SPM, pangkat Mumtaz STAM dan 4 Prinsipal A STPM tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata setiap pelajar terbabit akan diberi insentif sebanyak RM500.

“Sumbangan tersebut sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap kecemerlangan mereka dalam peperiksaan,” katanya di sini.

Sehubungan itu kata beliau kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM600,000 yang akan disumbang kepada 1,200 pelajar cemerlang terbabit.

Menurutnya pelajar yang layak memohon iaitu anak kelahiran negeri ini, anak Kelantan yang menduduki peperiksaan di negeri lain dan calon luar berasal dari luar Kelantan mengambil peperiksaan di sini.

Pelajar yang layak boleh mendapatkan borang berkaitan bermula Ahad ini di Yayasan Islam Kelantan. – HARAKAHDAILY 31/3/2016

Share on Myspace