Krisis dalaman Umno jangan sampai susahkan rakyat

HARAKAHDAILY | .

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menyifatkan, situasi ketegangan politik yang berlaku dalam negeri Terengganu adalah masalah dalaman Umno, yang melibatkan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan bekas MB Datuk Seri Ahmad Said.

PAS tidak wajar dibabitkan dan PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman Umno Terengganu kerana ia tidak ada kena mengena dengan PAS.

Oleh itu, PAS memberi peringatan kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional Terengganu, agar sebarang perbalahan dalaman dan krisis yang berlaku ini, jangan sampai menyusahkan dan mengheret rakyat ke kancah politik yang keterlaluan, sehingga mengabaikan kebajikan, kehidupan dan masa depan rakyat.

PAS tidak bersetuju dan menentang sebarang ketidakadilan, mengambil alih peruntukan yang sepatutnya diuruskan oleh wakil rakyat adalah satu amalan yang buruk dalam tadbir urus sesebuah kerajaan. Kerajaan Barisan Nasional Terengganu perlu melaksanakan transformasi menyeluruh, bukan hanya sekadar slogan.

PAS juga, sama sekali tidak bersetuju dengan apa-apa tindakan yang menyalahi peraturan dan perlembagaan, tindakan merampas kuasa sebagaimana dilakukan oleh Barisan Nasional negeri Perak adalah tindakan yang keji.

Sekiranya isu yang melanda politik negeri ini tidak dapat diselesaikan, maka mandat perlulah diserah semula kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru melalui pilihan raya.

Walau apapun yang mungkin berlaku, negeri Terengganu adalah negeri Raja Berperlembagaan. Sultan adalah payung negeri. Justeru pandangan tuanku sultan adalah amat dihormati.

Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka
22 Jamadil-akhir 1437/ 31 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 31/3/2016

Share on Myspace