Haiwan ceroboh lebuh raya akibat kecuaian manusia

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kejadian kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang membabitkan haiwan liar dan ternakan perlu dipandang serius oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Dungun Wan Hasan Mohd Ramli berkata, misalnya baru-baru ini telah berlaku kemalangan yang membabitkan seekor harimau belang telah menggemparkan negara ini.

Katanya, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak lebuh raya melakukan penyelenggaran dari semasa ke semasa khususnya membaik pulih pagar-pagar di tepi lebuh raya.

"Bukan sahaja haiwan liar bahkan haiwan ternakan juga seperti lembu dan kerbau boleh bolos ke jalan raya.

"Kerana kita tahu banyak sangat penternakan haiwan ini dibuat ditepi lebuh raya yang mana kita boleh jangka akan berlaku pada bila-bila masa," katanya ketika sesi soal jawab di Palimen hari ini.

Jelasnya, terdapat kawasan ragut yang dibuat di tepi LPT2 yang melibatkan kawasan tanaman sawit oleh Felda.

"Tentu-tentu perkara ini perlu diberi tindakan segera bagaimana kita hendak tangani ternakan sedangkan ia wujud di tepi lebuh raya,"tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin menegaskan hanya 12 peratus sahaja kes kemalangan yang dilaporkan membabitkan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau.

Namun, beliau tidak menafikan haiwan liar boleh bolos ke jalan raya kerana terdapat pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kejadian yang berlaku disebabkan faktor manusia. Pagar dipotong oleh individu tidak bertanggungjawab. Kejadian berlaku lebih kepada faktor manusia," jawab beliau.

Wan Hassan di dalam soalan asalnya meminta Menteri Kerja Raya menyatakan langkah-langkah untuk mengelakkan pencerobohan haiwan demi keselamatan pengguna LPT2. – HARAKAHDAILY 31/3/2016

Share on Myspace