Sejarah PAS Sarawak: Makin diterima di Bumi Kenyalang

MUHTAR SUHAILI | .

SEJARAH PENYERTAAN PAS DALAM PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK - PAS SEMAKIN DITERIMA DI BUMI KENYALANG (SIRI 2)

PAS mengambil pendekatan secara ijtihad untuk menerima amalan demokrasi yang sedia ada. Perlembagaan PAS jelas menegaskan bahawa dalam mencapai tujuan dan cita-cita PAS, ia akan melakukannya dalam batasan Undang-undang Negara dan Perlembagaan Negara sama ada dalam aktiviti dalamannya ataupun aktiviti politik dan dakwahnya (Fasal 6, Perkara 11).

PAS mengambil pendekatan muwajahah silmiyah dengan menyertai dalam bentuk parti politik untuk memperbaiki sususan serta institusi masyarakat, politik, keadilan ekonomi dan negara bersesuaian dengan dasar Islamnya (Fasal 6, Perkara 4).

Bertitik-tolak dari inilah maka PAS terus konsisten berpartisipasi di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak meskipun tewas kesemua ketiga-tiga kerusi dalam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pertama yang disertai buat julung kalinya pada tahun 2001.

Tahun 2004 berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 yang merupakan pilihan raya yang sukar buat pembangkang. PRU Ke-11 menyaksikan pembangkang tewas teruk apabila Barisan Nasional (BN) di bawah era Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) tampil dengan imej "Mr Clean" dan pelbagai janji-janji pembaharuan (yang akhirnya gagal dilaksanakan).

Dalam Pilihan Raya Umum tersebut sebagaimana PRU sebelumnya, PAS bertanding di satu kerusi iaitu di P.200 Batang Sadong dengan menampilkan Pesuruhjaya PAS Sarawak ketika itu, Tuan Haji Adam Ahid (Almarhum) menentang Datuk Patinggi Adenan Satem (sekarang Ketua Menteri Sarawak) dengan keputusan seperti berikut:

P.200 BATANG SADONG
BN - Datuk Patinggi Adenan Bin Satem (10,767 undi)
PAS - Haji Adam Bin Ahid (1,035 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 9,732 undi.

Selanjutnya pada tahun 2008 di dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-12, PAS dengan persetujuan rakan dalam Barisan Alternatif (BA) beralih ke Parlimen P.201 Batang Lupar di mana DUN Beting Maro terletak di bawah Kawasan Parlimen tersebut. Kali ini PAS Sarawak meletakkan Ketua Pemudanya ketika itu, Abang Eddy Allyanny sebagai calon dengan keputusan seperti berikut:

P.201 BATANG LUPAR
BN - Datuk Rohani Abdul Karim (11,015 undi)
PAS - Abang Eddy Allyanny Abang Fauzi (2,923 undi)
BEBAS - Ali Semsu (250 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 8,092 undi.

Di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pula, PAS terus mengorak langkah ke hadapan dan bertanding di 5 Kerusi Parlimen. Kali ini PAS telah mara dengan lebih meyakinkan dan menyaksikan mendapat undi yang agak baik di Kawasan Parlimen baru yang ditandinginya.

Sebagai contoh di Parlimen Sibuti, PAS yang menampilkan seorang calon anak tempatan berbangsa Iban mendapat jumlah undi yang agak memberansangkan iaitu sebanyak 7,282 undi. Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan bagi PAS yang pertama kali bertanding di Zon Utara Sarawak.

Berikut adalah keputusan penuh di 5 Kerusi Parlimen yang ditandingi PAS pada tahun 2013:

P.197 KOTA SAMARAHAN
BN - Rubiah binti Wang (24,202 undi)
PAS - Abang Ahmad Kerdee Bin Abang Masagus (6,801 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 17,401 undi.

P.200 BATANG SADONG
BN - Nancy Shukri (13,277 undi)
PAS - Mohamad Bin Jolhi (2,017 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 11,260 undi.

P.206 TANJUNG MANIS
BN - Norah Binti Abd Rahman (12,535 undi)
PAS - Jurina Binti Mut (1,571 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 10,964 undi.

P.207 IGAN
BN - Wahab Dolah (11,896 undi)
PAS - Ajiji Bin Fauzan (1,747 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 10,149 undi.

P.218 SIBUTI
BN - Ahmad Lai Bin Bujang (13,348 undi)
PAS - Muhammad Robby Zaid Bin Tandang (7,282 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 6,066 undi.

Berbalik kepada Pilihan Raya Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang semuanya diadakan secara berasingan dengan Pilihan Raya Kerusi Parlimen.

Menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak ke-9 pada tahun 2006, PAS telah membuat keputusan untuk bertanding dan memfokuskan hanya satu kerusi DUN sahaja iaitu di DUN Beting Maro. Selepas persempadanan semula, PRN Ke-9 menyaksikan pertambahan 9 kerusi DUN baru lagi menjadikan 71 kerusi DUN keseluruhannya.

Penyertaan kali ini membuktikan PAS semakin diterima di Bumi Kenyalang. Keputusan calon PAS di Beting Maro yang hanya tewas dengan majoriti 895 undi sahaja mengejutkan banyak pihak berhubung dengan kemampuan PAS di Sarawak.

Calon PAS Tuan Haji Alem Din berjaya mendapat 40.47 % undi menentang calon BN dari PBB yang merupakan penyandang iaitu Bolhassan Di @ Ahmad Di (sekarang Datuk).

Berikut merupakan keputusan penuh pilihanraya bagi Kerusi DUN tersebut:

N.24 BETING MARO
PAS - Alem bin Din (1,901 undi)
BN - Bolhassan bin Di @ Ahmad bin Di (2,796 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 895 undi.

Mengambil semangat dan keputusan yang sangat menggalakkan di Beting Maro, dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Kali Ke-10 yang diadakan pada 16 April 2011, PAS bukan sahaja bertanding sekali lagi di Beting Maro bahkan bertanding di 5 Kerusi DUN.

Kesungguhan PAS untuk mensasarkan kemenangan sulung pada pilihan raya tersebut amat tinggi. Keputusan menyaksikan PAS terus mendapat sambutan dan meneruskan momentum di Beting Maro dengan hampir menang dan cuma kalah tipis 391 undi.

Selain Beting Maro, PAS bertanding semula di DUN Sadong Jaya (tewas majoriti 2,934) yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu di samping 3 Kerusi DUN lain, iaitu DUN Sebuyau (tewas majoriti 2,276), Tanjung Datu (tewas majoriti 3,216) dan Muara Tuang (tewas majoriti 7,843).

Keputusan penuh adalah seperti dinyatakan di bawah:

N.03 TANJUNG DATU
BN - Tan Sri Adenan Satem (4,218 undi)
BEBAS - Gilbert Asson ak Kulong (215 undi)
PAS - Nani Sahari (1,002 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 3,216 undi.

N.15 MUARA TUANG
BN - Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud (11,039 undi)
PAS- Noraini Hamzah (3,196 undi).
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 8,843 undi.

N.20 SADONG JAYA
BN - Aidel Lariwoo (4,008 undi)
BEBAS - Mahayudin Wahab (402 undi)
PAS - Abang Eddy Allyanny Abang Fauzi (1,074 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 2,934 undi.

N.22 SEBUYAU
BEBAS - Ali bin Semsu (67 undi)
PAS - Haji Adam Ahid (1,769 undi)
BN - Julaihi Narawi (4,045 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 2,276 undi.

N.24 BETING MARO
BN - Razaili Gapor (3,069 undi)
PAS - Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (2,678 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 391 undi.

Khamis 31 Mac 2016, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuatkuasa pada 11 April 2016. Tarikh Pilihanraya iaitu Penamaan Calon dan Hari Mengundi pula akan ditentukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam masa terdekat.

Pilihanraya Negeri (PRN) Kali Ke-11 turut menyaksikan persempadanan semula melibatkan tambahan 11 Kerusi baru menjadikan 82 Kerusi DUN keseluruhannya. Insya-Allah PAS Sarawak akan bertanding di 11 Kerusi DUN seperti berikut:

N.4 Pantai Damai
N.7 Samariang
N.16 Muara Tuang
N.24 Sadong Jaya
N.27 Sebuyau
N.29 Beting Maro
N.60 Kakus
N.67 Jepak
N.70 Samalaju
N.72 Lambir
N.74 Pujut

Nota: PAS telah melancarkan Tawaran Sejahtera Untukmu Sarawak pada 12 Mac yang lepas di Kuching dan akan membuat Majlis Pengisytiharan Calon pada Rabu, 6 April 2016 di Bintulu yang akan disempurnakan oleh Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Insya-Allah PAS Sarawak akan menampilkan calon-calon berwibawa, profesional dan berdaya saing dalam pilihan raya kali ini.

Misi PAS dalam PRN kali ini ialah untuk menghantar Adun Sulung PAS ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak. Ini bagi memastikan PAS mampu untuk bersama-sama berpartisipasi dalam dewan pembuat dasar dan sekali gus menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Rakyat Sarawak sama ada di sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek melalui usaha siasah (politik), dakwah, tarbiyah, kebajikan dan kemasyarakatan.

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam komited dengan fikrah perjuangan Islam iaitu untuk memastikan Islam terus terbela, berkembang dan memerintah dunia dengan lembayung rahmat Ilahi. Saya yakin bahawa sesungguhnya masa depan adalah di tangan Islam. Islam adalah agama yang syumul merangkumi persoalan hidup seperti sosial, politik, ekonomi, pendidikan, rumahtangga, akhlaq dan seluruhnya.

Semoga penyertaan PAS dalam PRN Sarawak kali ini bakal membuahkan kemenangan sulung. Berkat jalinan mantap dan kerjasama utuh antara PAS Sarawak dan penggerak PAS dari seluruh negara akan menjadi nadi utama ke arah mencipta kemenangan perjuangan Islam di Bumi Kenyalang. Insya-Allah sama-sama kita usahakan dengan berstrategi dan dengan bantuan Allah SWT kita pasti mampu mencapai kejayaan. – HARAKAHDAILY 1/4/2016

Penulis ialah Setiausaha PAS Sarawak.

Share on Myspace