Politik Malaysia: PAS perlu sentiasa di tengah

SYAHIR SULAIMAN | .

"DAN demikian Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." (Al-Baqarah: 143)

Teori Titik Tengah Hotelling

Dalam bidang ekonomi dan strategi pemasaran, terdapat sebuah teori yang dinamakan The Hotelling’s Law.

Ia dinisbahkan kepada seorang ahli ekonomi Amerika yang bernama Harold Hotelling (1895 – 1973), terkenal dengan pemerhatian beliau terhadap kelakuan dua pihak yang bersaing bagi meluaskan pasaran masing-masing.

Teori tersebut menyebut, pesaing-pesaing akan meminimumkan perbezaan (minimum differentiation) dengan berada di titik tengah persaingan (middle ground) bagi tujuan memaksimakan saiz pasaran (market share).

Pastinya ada pengecualian terhadap teori tersebut, namun prinsip utama Hotelling’s Law menjelaskan mengapa stesyen minyak cenderung untuk dibina berdekatan dengan pesaing, mengapa syarikat penerbangan menyusun jadual yang hampir sama, dan mengapa bentuk televisyen hampir sama walau pelbagai jenama.

Teori ini juga terpakai dalam politik, kerana ahli politik adalah seperti peniaga, bersaing untuk memaksimakan saiz pasaran (pengundi), di mana majoriti pengundi berada di titik tengah populasi yang biasanya terbahagi mengikut taburan berbentuk loceng (bell-shaped population).

PAS dan Titik Tengah

Asas pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), serta gagasan Politik Blok Ketiga yang diteroka oleh PAS, adalah langkah mengekalkan konsistensi PAS berada di paksi pertengahan.

Dalam aspek politik negara, PAS perlu mengimbangi desakan politik yang memperjuangkan agenda Melayu supaya tidak terjerumus ke lembah asobiyyah, dan pada masa yang sama tidak pula hanyut hingga hilang jatidiri Melayu-Islam dalam kemajmukan kaum.

Dalam aspek pemahaman Islam, PAS perlu mengimbangi golongan literalis yang memberi tafsiran agama yang sempit mengikut teks (textual), dan pada masa yang sama perlu berhadapan dengan golongan liberalis yang memberi tafsiran Islam yang bebas mengikut logik akal (contextual).

Dalam aspek pilihan raya, PAS merekodkan penyertaan dalam setiap 13 pilihan raya umum secara aman. PAS pernah menjadi kerajaan dan pembangkang, pernah memerintah negeri dan pernah ditumbangkan, pernah berada dalam kerajaan Persekutuan dan pernah dibuang, juga pernah bergabung dan pernah bersendirian.

Mencari keseimbangan (balancing) dan kesederhanaan (moderation) merupakan prinsip utama terhadap nilai keadilan dalam Islam. Dalam konteks Malaysia, PAS perlu kekal sebagai watak pengimbang di antara ufuk kanan dan kiri politik tanah air (perkauman vs pluralis).

Di samping itu, PAS perlu kekal sebagai sebagai watak penghubung di antara ufuk atas dan bawah pemahaman agama (literalis vs liberalis).

Mengambil jalan tengah ternyata suatu posisi yang makin ditinggalkan oleh umat Islam di akhir zaman, yang merupakan pesanan agung yang terkandung dalam kalimah Wasatiyyah, dengan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah serta melaksanakan agenda dakwah dan siyasah.

Keberadaan PAS di paksi pertengahan pastinya memberi kelebihan untuk menguasai pasaran politik dan dakwah yang lebih besar, kerana majoriti rakyat dan mad’u berada di garis pertengahan. – HARAKAHDAILY 1/4/2016

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM

Share on Myspace