Kerajaan Persekutuan pindah milik tanah - Azmin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan didapati menyalahgunakan tanah asal diberi milikan oleh Selangor untuk kepentingan awam seperti pembinaan sekolah, hospital dan ibu pejabat polis.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beberapa bidang tanah diserahkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dipindah milik kepada syarikat tertentu.

Beliau menyatakan demikian pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), Shah Alam hari ini.

“Sebagai contoh, tanah kerajaan negeri di Bukit Raja, Daerah Petaling yang dibuat pengambilan bagi tujuan tapak Kem Markas 9 Briged Program Semboyan diserahkan kepada PTP, tetapi Kerajaan Persekutuan menjual kepada Syarikat Jendela Khidmat pada 2 Ogos 2013.

“Satu lagi contoh, tanah di Seksyen 7 Shah Alam, kita beri PTP tanah untuk tujuan Ibu Pejabat Polis dan perumahan bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan premium rendah iaitu RM5 juta, tetapi pada 5 November 2015, Kerajaan Persekutuan rupanya pindah milik tanah kepada sebuah syarikat dengan harga RM47 juta,” katanya dipetik Selangor Kini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkenaan dakwaan kononnya kerajaan negeri mengenakan premium tinggi walaupun untuk tujuan kepentingan awam.

ADN Taman Medan, Haniza Talha kemudian bangkit dan bertanya jika laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat kerajaan negeri berkenaan salah guna itu.

“Oleh kerana amalan sebelum ini apabila kita beri PTP tidak dinyatakan sekatan kepentingan ke atas tanah itu, maka dari segi perundangan mereka punya kuasa untuk pindah milik.

“Tetapi dari segi moral, kerajaan negeri beri milikan tanah untuk rakyat mengapa pula dijadikan satu urus niaga komersial untuk keuntungan,” katanya.

Share on Myspace