BKJ: Selangor akan beri insentif kepada pemaju

HARAKAHDAILY | .

KERAJAAN Negeri Selangor akan mengkaji insentif yang sesuai untuk menggalakkan pemaju melaksanakan konsep Bina Kemudian Jual atau BKJ.

BKJ berupaya mengelakkan pembeli rumah dari teraniaya akibat projek yang terbengkalai. Ramai yang terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan mereka setiap bulan tetapi terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya untuk rumah idaman mereka siap.

Walhal menurut perjanjian jual beli, rumah perlu disiapkan dalam masa 24 hingga 36 bulan. Malah terdapat projek yang tidak dapat disiapkan sama sekali.

Di bawah konsep BKJ, pemaju hanya boleh menjual rumah yang telah siap dibina.

Terdapat juga satu konsep jualan selain dari BKJ iaitu konsep 90:10 yang juga dapat mengelakkan penganiyaan terhadap para pembeli.

Untuk konsep ini pembeli hanya membayar 10 peratus dari harga rumah sebelum  rumah siap dibina dan membayar 90 peratus melalui pinjaman bank apabila rumah mereka telah siap.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri pernah memberi insentif untuk menggalakkan pemaju membina rumah mampu milik, Rumah Selangorku. Insentif itu adalah,

1.Memberi peningkatan densiti rumah yang akan dibina sehingga 120 unit seekar.

2.Memberikan potongan kepada pembayaran premium.

3.Mengecualikan caj pembangunan.

Kajian insetif untuk BKJ akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Kerajaan Persekutuan pernah dalam tahun 2012 mengumumkan untuk mewajibkan BKJ pada tahun 2015. Tetapi pada tahun 2014, pelaksanaan BKJ ini telah ditangguhkan.

Kuasa mewajibkan BKJ adalah pada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

Kerajaan Negeri yakin BKJ akan memastikan hanya pemaju yang berwibawa boleh membangunkan projek perumahan. Hari ini terdapat 106 projek perumahan terbengkalai di Selangor yang melibatkan lebih 22,854 unit kediaman.

DATO' ISKANDAR ABDUL SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
1 April 2016 – HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace