Rakyat perlukan pemimpin, bukan badut

HARAKAHDAILY | .

Pada 10 Jun 2015 Menteri Pelancongan, Nazri Aziz mengatakan “saya merupakan antara beberapa individu yang gembira bila ringgit jatuh, pelancong-pelancong akan berasa mewah dan seperti orang kaya apabila melancong ke Malaysia”.

Pada 11 Ogos 2015 pula beliau mengatakan “Hanya orang gila yang tidak memahami bahawa penurunan mata wang Ringgit membawa kepada kebaikan kepada pelancongan”.

Dan akhirnya dalam sidang parlimen pada 31 Mac 2015, Nazri menjilat kembali ludahnya dengan melaporkan bahawa jumlah pelancong yang datang melawat Malaysia pada 2015 hanyalah sebanyak 25.7 juta berbanding 27.4 juta pada tahun sebelumnya.

Jumlah ini menunjukkan pengurangan hampir 2 juta pelancong tahun lepas sekaligus memberikan jawapan padu kepada menteri yang sombong ini bahawa kejatuhan nilai matawang bukanlah advantange untuk negara menarik lebih ramai pelancong dari luar.

Kejatuhan nilai ringgit yang berlaku pada tahun lepas adalah yang terburuk dilalui oleh negara dengan nilai ringgit sebanyak RM4.33 berbanding USD1 pada 7 September 2015.

Malangnya terdapat pihak-pihak seperti Nazri yang menganggap kejatuhan itu sebagai perkara positif bagi pelancongan.

Namun pelancong sendiri memberikan jawapan yang jelas dan memboikot industri pelancongan negara.

Adalah sangat mengecewakan bila mana menteri-menteri seperti ini dibiar terus menerajui Kerajaan.

Sudahlah gagal untuk mencapai KPI yang ditetapkan, sombong bila ditegur dan tidak mampu memberikan penyelesaian kepada masalah rakyat.

Rakyat perlukan pemimpin, bukan badut untuk bergelak ketawa.

Menteri-menteri ini perlu terima hakikat, kejatuhan nilai ringgit, kurangnya jumlah pelancong ke dalam negara adalah disebabkan oleh kegagalan Kerajaan menunjukkan nilai integriti.

Skandal rasuah dan tadbir urus dalam kerajaan khususnya melibatkan Perdana Menteri memberikan imej buruk kepada negara serta merosakan peluang pasaran negara.

Terlalu banyak perkara yang didedahkan gagal dijawab dengan baik. Dan kehadiran menteri-menteri yang kurang cerdik dalam memberikan komen memburukkan lagi keadaan pentadbiran negara yang dilihat amat lemah ketika ini.

Sudah sampai masanya satu perubahan besar dilaksanakan. Bukan sekadar mengubah senarai kabinet sedia ada, tapi membubarkan terus parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum semula.

Ini sahaja ruang yang ada untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur serta pelancong terhadap keupayaan kepimpinan negara mengurus negara.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
2 April 2016 | 24 Jamadilakhir 1437 - HARAKAHDAILY 2/4/2016

Share on Myspace