Blok ketiga: Suasana berbeza selepas muktamar tahun lalu

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Iskandar menyampaikan anugerah kepada veteran PAS Kuala Krau.

TEMERLOH: Blok ketiga yang dipelopori PAS bakal menstruktur lanskap.politik negara berikutan suasana berbeza selepas muktamar PAS tahun lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, ia sejajar dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa PAS.

"Blok ketiga ini terasa kewujudannya dan ini diakui sendiri oleh Menteri Besar, Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

"Sebab PAS terus mengekalkan prinsip perjuangan di samping tidak mengabaikan hasrat dan keresahan rakyat," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Krau ke-30 hari ini.

Mesyuarat kali pertama diadakan di bangunan Kompleks PAS Pahang, Kerdau di sini.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu menarik perhatian dengan menceritakan bagaimana di negeri tersebut ada mencanangkan PAS akan hancur berikutan ramai pemimpin parti yang keluar dan menyertai parti lain.

Tambahnya, kini PAS Selangor antara yang tertinggi menerima ahli baru setiap bulan.

"Itulah trend terbaru dalam PAS, dulu kita dengar mat rempit yang menyertai PAS tetapi terbaru orang Umno yang menyertai PAS di Selangor.

"Sebab kita tidak berkelahi dengan orang Umno peringkat bawahan. Bukan kita masuk Umno atau bekerjasama tetapi hasilnya mereka pergi kepada PAS," katanya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Selangor turut kagum dengan pembinaan Kompleks PAS Pahang yang mampu memiliki dewan sendiri tanpa perlu menjadi pemerintah hasil komitmen pendukung parti.

Dalam pada itu, beliau turut yakin dengan peluang PAS Pahang yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang. - HARAKAHDAILY 2/4/2016

Share on Myspace