Himpunan prihatin untukmu penoreh tuntut janji BN

HARAKAHDAILY | .

SIK: Kami telah mendengar berulang kali kerajaan mengumumkan pelbagai janji untuk mengambil langkah dan inisiatif bagi memperbaiki harga getah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kami telah berhimpun pada 5 April 2014 di Baling Kedah untuk menyuarakan Deklarasi Baling 2.0 yang mengandungi 10 tuntutan seperti yang di lampirkan.

Berikutan deklarasi itu, Ketua Pengarah LGM menyuarakan keyakinan tentang undang-undang baru akan digunakan untuk penetapan harga harian getah sekerap, namun harga tidak bertambah baik, malah semakin menjunam daripada RM2.50 sekilo (2014) hingga serendah RM1.70 sekilo pada tahun ini.(2016).

Kos kehidupan yang semakin meningkat sementara harga getah pula semakin rendah telah menjerumuskan penoreh dan pekebun kecil dalam situasi kesempitan yang meruncing, mengheret penoreh ke perangkap berhutang dan hilang daya saing.

Keperluan pendidikan, makanan asas, nutrisi, perubatan keluarga telah merosot malahan kegiatan sektor ekonomi lain terjejas dengan teruk. Pertanian dalam sector getah bukan lagi bisnes, sebaliknya berubah menjadi pemerasan terhormat oleh pengilang, traders dan pengawal industri serta agensi kerajaan yang berkaitan kerana penoreh dan pekebun sudah tiada pilihan.

Sempena Himpunan Prihatin Untukmu Penoreh pada 2 April 2016, kami para penoreh ingin mempertegaskan semula Deklarasi Baling 2.0 bertarikh 5 April 2014, dan menuntut perkara berikut dilaksanakan segera:

1. Mendedahkan harga kontrak komoditi getah seperti harga komoditi lain (minyak sawit mentah, emas, arang batu, kopi, dan lain-lain) yang menjadi asas penetapan harga di pasaran dan di ladang. Menyembunyikan harga ini membuka ruang manipulasi pengilang dan trader.

2. Kerajaan segera memperuntukkan dana khas negara berjumlah RM1.6 bilion untuk membantu melaksanakan skim harga lantai pada RM4 sekilogram. Jumlah itu tidaklah terlalu besar jika dibandingkan dengan jumlah penerima manfaat seramai 590,000 keluarga.

3. Kerajaan membatalkan sekatan eksport kayu getah bergergaji yang dikenakan oleh Malaysian Timber Industry Board (MTIC) untuk melonjak sektor tersebut menjadi sumber pendapatan pekebun selepas 15-20 tahun pokok getah ditoreh untuk susu. Pemintaan yang tinggi terhadap kayu getah bergergaji di pasaran dunia (600,000 meter padu) sewajarnya tidak hanya menjadi sumber kekayaan tauke-tauke industri perabut tempatan sahaja. Buka ruang kepada pekebun untuk menjalankan bisnes kayu getah jika kerajaan sudah tidak mampu lagi menangani harga getah sekerap. Melindungi bisnes pengusaha perabut yang berasaskan kayu getah telah menafikan peluang  pemilik kebun untuk memanfaatkan sumber yang mereka miliki. Sekatan eksport kayu hanya selari dengan harga getah sekerap yang munasabah.

4. Reformasi Agensi-agensi berkaitan getah dan sistem penetapan harga getah secara menyeluruh. Kerajaan tidak boleh memelihara kepentingan pengilang dan rantaian trader getah sahaja. Rakyat perlukan  pembelaan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.

5. Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan dana RM200 juta bukan penyelesaian harga getah. Ia dilihat sebagai  gulu-gula pemanis mulut pihak kerajaan. Tambahan 10 sen hingga 40 sen sekilo untuk menjadikan harga sekerap RM2.20 tidak akan mengeluarkan penoreh daripada lubang kesempitan. Sehingga kini belum ada seorangpun penoreh yang menerima tuntutan IPG sejak 3 bulan lalu. IPG tahun 2015 dengan dana RM100 juta jugak langsung tidak terusik.

6. Pemberhentian sementara kutipan cukai ses (14 sen sekilo) yang diumumkan minggu lepas harus dipastikan sampai manfaatnya kepada penoreh dan pekebun. Jika harga tidak meningkat, pengumuman itu hanya satu pengumuman yang tiada makna.

Kami memohon, pihak kerajaan segera menimbangkan tuntutan dan saranan kami, seluruh warga penoreh dan pekebun kecil seluruh negara. Kami akan terus berhimpun, dalam skala yang lebih besar dan lebih kerap sehingga nasib kami mendapat pembelaan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 2/4/2016

Share on Myspace