Inilah deklarasi penoreh getah Baling untuk tatapan BN

HARAKAHDAILY | .

DEKLARASI Baling 2014 sempena Himpunan Derita Rakyat 2.0

Selepas empat dekad berlalu, tatkala kerajaan gah melaungkan slogan kejayaan, berbangga tentang pantasnya kemajuan dan pesatnya pembangunan, rakyat sebenarnya kian terhimpit dan tertekan.

• Empat puluh tahun lalu, bumi Baling ini telah memahat sejarah, membuka mata tentang keperitan derita rakyat, sengsara dihiris kemiskinan.

• Selepas empat dekad berlalu, tatkala kerajaan gah melaungkan slogan-slogan kejayaan, berbangga tentang pantasnya kemajuan dan pesatnya pembangunan, rakyat sebenarnya kian terhimpit dan tertekan.

• Derita rakyat makin parah dengan lonjakan kos sara hidup, peningkatan memuncak harga keperluan asas, bebanan kenaikan tarif elektrik dan bekalan air, saban tahun semakin berat.

• Tidak memadai dengan pengurangan subsidi, rampasan royalti, kenaikan kos insuran, pengangkutan, perubatan dan pendidikan tinggi, rakyat dipaksa berkorban lagi dengan kemunculan GST.

• Semua ini menambah sengsara, khususnya golongan penoreh dan pekebun kecil getah yang sedang terjerumus dalam kesukaran yang tiada kesudahan, akibat pendapatan mereka tidak lagi dapat menampung kos kehidupan harian.

• Kesejahteraan rakyat terus merosot apabila harga komoditi getah di ladang dibiarkan terus menjunam. Jurang pendapatan makin melebar antara penoreh dan pekebun kecil dengan pengilang, pemborong, dan syarikat-syarikat milik agensi yang bertanggunjawab menguruskan sektor ini;

• Tiada jaminan, tanpa rancangan pembelaan, manipulasi berleluasa, agensi dan syarikat menjadi super kaya, penoreh getah terus menerus sengsara.

MAKA, Peserta Himpunan Derita Rakyat 2.0, pada tanggal 5 April 2014, di Kupang, Baling Kedah Darul Aman, menegaskan bahawa:

1. Pembangunan Tanpa Kenaikan Kos.

Pembangunan negara tidak lagi berteraskan kenaikan kos sara hidup yang dipaksakan ke atas rakyat, sebaliknya wajib berasaskan pemimpin yang amanah, pengurusan bebas rasuah, peningkatan integriti, kecekapan agensi dan anti kebocoran dan keborosan.

2. Harga Lantai RM4.00/kg.

Penetapan harga lantai komodoti getah di ladang pada kadar RM4 sekilogram harus dilaksanakan segera. Kadar ini wajar kerana kos pengeluaran sebenar yang ditanggung oleh penoreh/pekebun kecil adalah sebanyak RM3.20 sekilogram.

3. Caj Kilang Dikawal Oleh Kerajaan.

Kos pengilangan getah yang terlalu tinggi tidak boleh ditanggung oleh pekebun kecil sepenuhnya, sebaliknya ditentukan dengan campurtangan kerajaan melalui pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang. Kadar maksima caj pengilang sewajarnya tidak melebihi RM1.00/kg, dikongsi bersama oleh pengilang dan pengeluar.

4. Sukatan DRC Secara Saintifik.

Dried Rubber Content (DRC) harus ditentukan secara saintifik. Lembaga Getah Malaysia (LGM) wajib menguatkuasakan penggunaan tolok penyukat DRC untukmengelak manipulasi harga akibat penentuan kadar DRC berdasarkan andaian oleh peraih dan pengilang.

5. Hentikan Pemotongan Cukai Ses.

Pemotongan cukai ses, yang mengakibatkan pekebun kehilangan sebahagian pendapatan mereka wajar ditamatkan. Kos penyelididikan dan tanaman semula getah tidak boleh dibebankan kepada pekebun kecil melalui cukai ses, sebaliknya dana untuk tujuan ini diperuntukan daripada sumber lain.

6. Subsidi Tanaman Semula Getah.

Bantuan tanaman semula getah diberikan sebagai subsidi, seperti yang dinikmati oleh pesawah dan nelayan. Malahan subsidi telah lama dinikmati oleh banyak sektor lain termasuk sektor industri tenaga.

7. Subsidi Baja.

Selaras dengan kepentingan industri berasaskan komoditi getah, dan sumbangan besar sektor ini kepada pembangunan rakyat dan negara Malaysia, kerajaan wajar memberikan subsidi baja selama 25 tahun kepada semua pekebun kecil bagi memastikan produktiviti pokok getah dapat dikekalkan selama ia dapat memberikan pulangan kepada pekebun kecil.

8. Penentuan Harga Tidak Dikawal Spenuhnya Oleh Pengilang.

Mekanisme penentuan harga SMR20 tidak lagi hanya bergantung kepada tawaran harga pengilang-pengilang yang menganggotai Panel Penasihat Harga LGM, tetapi harus mengambiilkira kos dan kesan yang ditanggung oleh penoreh dan pekebun kecil.

9. Rombakan Besar-besaran Agensi.

Agensi-agensi yang dirubuhkan untuk menguruskan industri getah dan membantu pekebun kecil dan penoreh harus dirombak, kembali berfungis selari dengan matlamat penubuhannya. Agensi agensi kini telah dilihat lebih berorentasikan perniagaan dan keuntungan mereka sahaja.

10. Kepimpinan Baharu Pertubuhan Kebangsaan Pekebun Kecil Getah.

Pertubuhan dan persatuan yang mewakili pekebun dan penoreh tidak boleh dibiarkan menjadi lubuk meraih pengaruh, habuan dan kuasa politik. Kepimpinan yang ada kini telah menjadi berubah menjadi wakil pihak industri dan agensi, daripada fungsi sebenar menyuarakan tuntutan pekebun kecil.

Dimeterai di Himpunan Derita Rakyat 2.0, Baling Kedah Darul Aman

5 April 2014 / 5 Jamadil Akhir 1435 – HARAKAHDAILY 2/4/2016

Share on Myspace