PAS bimbang pemimpin lemah musnah negara

HARAKAHDAILY | .

PAS Bimbang Pemimpin Lemah Akan Musnahkan Negara (2 April 2009)

PADA hari ini dalam tahun 2009, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan negara ini yang akan dipimpin oleh seorang pemimpin yang lemah dan tidak berkualiti sehingga menjelaskan masa depan negara.

Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika mengulas pelantikan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang baru mulai 3 April 2009 setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Pergolakan politik nasional timbul setelah BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat setelah PR menguasai 82 dari 222 kerusi.

Ekoran tekanan dalaman BN, Datuk Seri Abdullah telah mengumumkan pengunduran beliau pada 8 Oktober 2008 daripada jawatan Perdana Menteri mulai akhir Mac 2009, selain tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Beliau melepaskan jawatannya pada 2 April 2009 dan digantikan oleh Datuk Seri Najib mulai 3 April 2008.

Pendirian Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz adalah selaras dengan pendirian Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah menyertai pimpinan PR untuk mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menangguhkan pelantikan Datuk Seri Mohd Najib.

Pimpinan PR mahu nama bakal Perdana Menteri itu dibersihkan dahulu dari pelbagai skandal termasuk isu kapal selam Scorpone dan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

PR mendesak sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk membersihkan nama Datuk Seri Mohd Najib.

Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya pada 2 April 2009 berpendirian bahawa negara akan selamat jika dipimpin oleh seorang pemimpin yang bermoral, sedangkan Datuk Seri Mohd Najib tidak pernah dibersihkan dari dari semua tuduhan terhadapnya.

Bahkan, beliau juga dikaitkan secara langsung terhadap usaha menjatuhkan Kerajaan PR di Perak melalui penculikan wakil rakyat. Bukti terhadap kelemahan kepemimpinan Perdana Menteri baru ini ialah kegagalan beliau mendapatkan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, yang diikuti oleh pelbagai krisis ekonomi dan politik yang menyusahkan rakyat.

Di sebalik pendirian PAS yang mahukan Datuk Seri Mohd Najib disiasat dan tidak mahu pemimpin yang lemah ketuai kerajaan, ternyata Perdana Menteri baru ini telah muncul sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara.

Beliau bukan sahaja dipalitkan dengan skandal keluarganya, terutama campur tangan isterinya dalam pentadbiran negara, tetapi turut terbabit dengan skandal 1MDB dan wang tunai dalam akaun peribadi berjumlah RM2.6 bilion.

Dalam masa yang sama, Umno telah menghadapi krisis terbesar sehingga terpaksa memecat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah, sedangkan beliau sendiri menerima tentangan terbuka dari dalam Umno termasuk oleh bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamed.

PAS melihat kelemahan kepemimpinan Datuk Seri Mohd Najib ini adalah peluang terbaik untuk rakyat menjatuhkan Umno.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 April 2016 - HARAKAHDAILY 2/4/2016

Share on Myspace