Perhimpunan rakyat: Kenapa kerajaan memekak telinga?

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Dalam beberapa bulan yang lalu Malaysia diwarnai dengan perhimpunan yang bertali temali. Mungkin akan ada lagi perhimpunan ala demonstrasi yang memilih jalan raya untuk menyuarakan keresahan rakyat.

Sehingga ini mahasiswa, pekerja, pesara, aktivis NGO, petani, penoreh getah, peneroka Felda dan peneroka bandar, belia, pemandu teksi, pekerja kilang, seniman, budayawan, surirumah, aktivis politik telah turun menyertai perhimpunan di bandar dan desa.

Bermula dari perhimpunan Bersih 2.0, perhimpunan Kongres Rakyat di Shah Alam, perhimpunan bantah TPPA di Kuala Lumpur, perhimpunan Deklarasi Rakyat, perhimpunan pesawah dan penoreh getah di Kedah dan perhimpunan bantah GST, rakyat tidak serik berhimpun.

Manakala perhimpunan bantah DLP pula bakal diadakan pada 9 April ini.

Mungkin ada yang berpendapat semua perhimpunan itu tidak mencapai kesan yang diharapkan akan tetapi tidak boleh dinafikan lambat laun ia boleh memberi impak kepada imej kerajaan yang nampaknya terus mengambil sikap tidak peduli.

Sehingga ini rakyat masih menunggu respons kerajaan untuk bertindak memenuhi tuntutan yang dilakarkan dalam memorandum demi memorandum.

Pelbagai perhimpunan ini membawa mesej dan penekanan isu rakyat yang berbeza. Sejumlah tuntutan diketengahkan, pilihan raya yang bersih, membantah perjanjian perdagangan TPPA, menolak pelaksanaan DLP, membantah projek mega, penambakan pantai, membantah pemerosesan industri nadir bumi Lynas, perlombongan bauksit, menetapkan potongan basah padi pada kadar 17%, menetapkan harga lantai RM4 pada getah skrap dan menghentikan kebenaran khidmat teksi tanpa lesen.

Jika dibanding dengan negara-negara lain seperti di Amerika Latin, Timur Tengah, Korea, Taiwan dan Jepun, kebangkitan rakyat yang berterusan begini akan menatijahkan pemerintah sema ada terpaksa bertukar ataupun pemimpin tertingginya mengundurkan diri.

Namun sikap pemerintah di Malaysia nampaknya terus berdegil dan memberi respons politik yang sangat mengecewakan. Dari sindrom penafian sehingga menyerang balas dengan mengguna undang-undang atas nama OSA, memecat mereka yang tidak sealiran, menyiasat pemberi maklumat dan merombak penjawat dalam agensi yang sebenarnya mempunyai mandat untuk menyiasat aduan.

Senario yang sangat merimaskan rakyat ialah sikap kerajaan dilihat bukan untuk merungkai masalah tetapi menangguh-nangguhkan tindakan sehingga keadilan dan kebenaran tidak ditegakkan sebaliknya kebejatan urus tadbir terus dipertahankan.

Lebih buruk ialah apabila pemerintah dilihat hanya mahu mempertahankan kuasa, tidak kira ia akan membebankan negara dan rakyat asalkan boleh terus memegang kuasa. Perhimpunan balas digerakkan pula untuk menunjukkan ada rakyat yang mahu pemerintah yang sedia ada kekal.

Untuk kali ini rakyat semakin banyak terdedah kepada maklumat mengenai pelbagai isu kepincangan pentadbiran kerajaan. Sejumlah isu yang berkaitan dengan ekonomi dan urus tadbir harta negara terbongkar. Malangnya persoalan yang terangkat tidak mendapat penjelasan yang sewajarnya. Sebaliknya rakyat dikelirukan dengan maklumat yang bersimpang siur dari pemerintah sendiri.

Negara kini berdepan dengan isu ketidakyakinan pelabur dan krisis kredibiliti yang sangat mencemarkan imej negara. Belum pernah skandal dalam negara mendapat perhatian dari media luar yang sebegini meluas. Malangnya penyokong fanatik pemerintah berdalih bahawa pihak luar mahu menghancurkan negara dan dengan sebab itu isu-isu yang dibangkitkan dianggap tidak perlu dilayan.

Perhimpunan rakyat akar umbi yang berlaku di Kedah dalam kalangan pesawah dan penoreh getah adalah perhimpunan yang menampilkan keresahan rakyat yang real. Tidak ada sama sekali bersifat politik partisan tetapi adalah untuk mereka yang turut menyumbang kepada negara pada skala yang sangat besar.

Kami berpendirian jika suara rakyat terus menerus diketepikan dan tidak diendah oleh kerajaan, perhimpunan yang bakal ada lagi harus diberi perhatian serius bahawa perubahan besar pasti akan diterjemahkan pada pilihan raya akan datang. - HARAKAHDAILY 3/4/2016

Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Share on Myspace