‘Ustaz Budak’ bangun Pondok Syukriah

ASLANI M|FOTO M ZIN | .

MACHANG: Kawasan kebun getah di Kampung Awah, Paloh Rawa dekat sini bertukar seperti pesta apabila orang ramai bertali arus datang ke majlis kesyukuran perkahwinan Ustaz Shamsul Zaman Syukri.

Lebih teruja lagi puluhan kenderaan dari Thailand yang membawa rombongan pelajar pondok dari negara jiran, termasuk juga kenderaan yang berdaftar di Bangkok.

Ustaz Shamsul Zaman lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Budak dikenali ramai di Malaysia dan Thailand kerana kepetahan berceramah dan menyampaikan kuliah agama.

Malah ketika pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada 2009 beliau antara tenaga pengkuliah PAS.

Beliau berkata sebanyak tujuh lembu dikorbankan bagi jamuan kepada orang ramai yang datang bermula jam 11 pagi sehingga 11 malam tadi.

“Pada sebelah tengah hari dianggarkan kira-kira 10,000 tetamu berkunjung termasuk dari negara jiran yang datang bertali arus.

“Saya bersyukur kerana orang ramai menghargai jemputan saya. Saya juga menghantar jemputan kepada Anggota Parlimen Machang Datuk Jazlan Yaakub.

“Bermula dari Menteri Besar Kelantan sehingga rakyat jelata datang meraikan kesyukuran yang saya adakan sempena membawa pulang isteri,” katanya ketika ditemui.

Ustaz Budak juga mencetus kelainan apabila turut menjemput pembaca Harakah datang ke majlis berkenaan melalui iklan yang disiarkan Khamis lepas.

Sempena majlis kesyukuran tersebut beliau juga menyedia tong bagi memungut derma untuk membangunkan Pondok Syukriah yang dianggarkan berharga RM1.8 juta.

Menurutnya bangunan dua tingkat yang lebih 60 peratus siap sehingga sekarang melibatkan kos sebanyak RM800,000.

“Kami memerlukan kira-kira RM1 juta lagi bagi menyiapkan sepenuhnya pondok terbabit,” katanya.

Turut hadir Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Hadir sama Penolong Ketua Jajahan Narathiwat Nayok Che Hamid dan pegawai keselamatan dari Thailand.

Pondok tersebut dibangunkan di kawasan seluas enam ekar terletak kira-kira 400 meter dari rumahnya. Kawasan itu sebelum ini merupakan kebun getah milik keluarganya. - HARAKAHDAILY 3/4/2016

Share on Myspace