Rakyat perlu bangkit bantah DLP

HARAKAHDAILY | .

Kerajaan sekali lagi menimbulkan kontroversi dalam pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan nasional.

Setelah suara penentangan rakyat terhadap perlaksaan program dwibahasa dalam pendidikan (DLP) yang merupakan versi baru PPSMI mula disuarakan kerajaan mengambil sikap memekakkan telinga.  
Nampaknya kerajaan tidak serius dalam mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan negara.

Setelah PPSMI dapat dikekang dan kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan diteruskan, kini versi baru mengenepikan Dasar Bahasa Kebangsaan ditampilkan iaitu DLP. Malah pelaksanaan DLP di hampir 300 buah sekolah sudahpun dilaksanakan.

Rasional untuk melaksanakan DLP kembali menimbulkan persoalan, sejauh mana dasar bahasa kebangsaan benar-benar mahu direalisasikan oleh kerajaan.

Ketika PPSMI dibantah oleh rakyat dan akhirnya diumum tidak diteruskan, hujah yang sangat kukuh digunakan oleh demonstrasi rakyat membantah PPSMI ialah penggunaan bahasa kebangsaan sebagai medium tidak menyebabkan penguasaan ilmu terbantut.

Apakah sebenarnya yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan bagi memartabatkan bahasa kebangsaan sekali gus memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan dalam pembangunan negara?

Soalnya kenapa kerajaan maseh terperangkap dalam sindrom tidak percaya kepada kemampuan negara ini dimajukan dengan bahasa kebangsaan.

Kami berpendapat punca yang menjadi isu memertabatkan bahasa kebangsaan kembali menjadi kontraversi ialah pemimpin kerajaan maseh terperangkap dalam sindrom tidak percaya diri kepada keupayaan bahasa sendiri.

Akibat terlalu teraju dengan persepsi bahawa Bahasa Inggeris lebih superior dari bahasa sendiri, maka bahasa kebangsaan dianggap tidak lengkap.

Dengan yang demikian sikap mengalah apabila ada pihak yang beria-ia mahu Bahasa Inggeris diutamakan atas alasan bahasa itu sahaja yang boleh membawa negara setaraf dengan standard dunia menyebabkan kerajaan tidak berpegang teguh kepada prinsip perlembagaan yang meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

DLP tiba-tiba muncul kononnya atas nama mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris akan tetapi ternyata ia hanya suatu penjenamaan baru kepada PPSMI. Tujuan akhirnya tetap sama iaitu menjadikan Bahasa Inggeris kembali sebagai pengantar kepada sistem pendidikan nasional.

Rakyat berhak membantah keputusan kerajaan ini kerana kerajaan sendiri nampaknya tidak menghormati Dasar Bahasa Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Jelas kerajaan tunduk kepada segelintir kelompok elit yang ghairah dengan bahasa penjajah dan melobi supaya bahasa kebangsaan dikelaskeduakan di negara ini.

Kami turut membantah dengan keras pelaksanaan DLP. Pihak Kementerian Pendidik tidak melakukan perundingan dan semak pandangan dengan pakar bahasa untuk menimbang kesan pelaksanaan DLP.

Kami menuntut supaya DLP tidak diteruskan dan rakyat berhak untuk membantah polisi kerajaan yang tidak konsisten menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim
3 April 2016 - HARAKAHDAILY 3/4/2016

Share on Myspace